Berita

“Tak Kisah Ke Saya Lebih Tua Daripada Awak, Saya 53 Tahun Gila!” – Ellie Suriaty Akui Kini Rapat Dengan Lelaki Usia Lewat 30-an

Share

“Tak boleh nak cerita lebih-lebih, kalau tak jadi malu. Serah pada Allah.” Demikian kata pelakon berkaliber, Ellie Suriaty yang tidak menafikan dia kini sedang jalin hubungan istimewa dengan lelaki bujang berusia lewat 30an lebih setahun lalu.

Akui si dia turut terbabit dalam bidang seni, Ellie bagaimana pun belum sedia untuk berkongsi lanjut mengenai latar lelaki yang kini sedang rapat dengannya itu. 

“Kami masih alam fasa mengenali hati budi. Apa pun sekarang ini saya hanya menikmati kehidupan saya dan hubungan yang sedang dibina.

“Cuma untuk saya, rasa terharu bila ada yang sudi untuk mengenali dan mahu berkawan dengan kita. Tapi untuk setakat ini, kami hanya berkawan sahaja. Cuma yang ini, dia istimewalah,” katanya.

Elie berkata demikian ketika ditemui sejurus pementasan hari pertama teater Andak Bertandak yang berlangsung di Kuala Lumpur Performing Arts Centre, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Teater Andak Bertandak yang dipentaskan sehingga 1 September depan itu diarahkan oleh Azhar Zainal dan skrip oleh Fasyali Fadzly yang juga Dekan Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Selain Ellie, ia turut menampilkan Azhan Rani, Jay Iswazir, Dottie, Riena Diana, Fadhli Masoot, Aizat Saha dan Razman Mahayuddin.

Ellie pada masa sama terbuka mengenai jodoh dan menyifatkan insan yang sedang dikenalinya itu sebagai lelaki yang baik.

“Dia orang yang baik. Ya, dia juga lebih muda usianya daripada saya. Namun apa yang penting, dia boleh menerima anak-anak saya. Kalau sebaliknya, rasanya saya tidak boleh untuk meneruskan hubungan ini.

“Segan sebenarnya. Ini pun macam… Awak tak kisah ke saya lebih tua daripada awak. Saya 53 tahun gila!

“Katanya dia sukakan wanita matang, bukan yang kebudak-budakan. Segan juga untuk bercerita,” katanya lagi.

Berkongsi lanjut, dia hanya berserah kepada jodoh Yang Maha Esa apabila ditanya mengenai meneruskan hubungan ke fasa yang lebih serius selepas ini.

“Itu semua kita serahkan kepada Allah Ta’ala apabila bercakap mengenai jodoh. Tak boleh nak bercakap lebih.

“Apa pun, masing-masing kena memastikan sama ada keluarga kedua belah pihak boleh menerima hubungan ini memandangkan dia masih bujang. Jadi saya memang berserah kepadaNya.

“Tiada istilah untuk terlalu menekan di dalam perhubungan ini. Apa pun, saya bersyukur kerana ditemukan dengan orang yang baik, alhamdulillah,” katanya lagi.

Imbas kembali, Ellie bercerai dengan pelakon Azri Iskandar dengan talak satu pada 17 Mei tahun lalu selepas 19 tahun berumah tangga.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak iaitu Azrell Omar, 19, dan Nur Azreen, 15.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

 

Published by
MH