Hiburan

“Tak Kisah Kena Jual Kambing, Lembu Atau Ayam, Yang Penting Saya Cari Rezeki Halal,” – Fattah Amin

Share

Baru-baru ini, pelakon, Fattah Amin telah mencetuskan fenomena selepas kemunculannya di dalam satu sesi siaran langsung di akaun Tik Tok milik syarikat kambing perap telah meraih lebih 100,000 tontonan dan 44 juta tanda suka.

Susulan daripada kejayaan tersebut, Fattah mendedahkan dirinya kini telah dilabel tokey kambing dan usahawan sepenuh masa.

Menerusi sesi siaran langsung terbaharu pada Jumaat, pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu menganggap gelaran tersebut sebagai suatu yang positif.

“Sekarang ini saya pergi mana-mana, semua orang panggil saya tokey kambing. Mereka siap tanya malam ni saya tak jual kambing ke (di Tik Tok)?

“Mereka puji saya jual kambing laku. Saya pergi mana-mana, orang ingat saya kini jual kambing perap sepenuh masa,” katanya.

Dalam pada itu, Fattah enggan mengambil pusing tentang tanggapan negatif segelintir pihak selain turut menegaskan menjual kambing perap adalah satu kerja yang halal.

“Tapi saya tak kisah. Asalkan saya cari rezeki yang halal. Tak kisah apa orang fikir.

“Kena jual kambing, lembu atau ayam, tak mengapa. Yang penting saya cari rezeki,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Fattah memberitahu tugasnya dalam siaran langsung hanya untuk membantu menaikkan jumlah jualan bisnes kambing perap tersebut.

“Saya pun tidak tahu bila akan muncul dalam siaran langsung lagi. Mereka jemput saya untuk naikkan jumlah jualan.

“Kalau stok tak habis, mungkin tak akan panggil lagi dan mungkin sampai di sini sahaja,” katanya lagi.

Bapa kepada seorang cahaya mata ini juga memberitahu dia enggan muncul terlalu kerap dalam siaran langsung tersebut kerana risau ramai yang akan bosan.

“Ini adalah sesi siaran langsung terakhir saya. Saya takut anda bosan tengok saya ‘live’ kerap sangat.

“Nanti ada pula yang kata, ‘tak payah la tengok lagi, asyik-asyik Fattah je,” tuturnya.

Difahamkan, identiti pemilik jenama kambung perap tersebut iaitu Pak Mat juga akan didedahkan pada malam ini.

Hari ini, siaran langsung tersebut mencatat 76,000 jumlah tontonan dan 18 juta tanda suka.

Sumber & Kredit Foto: Tik Tok Live Pak Mat Western & Instagram Fattah Amin

Published by
Aizam Manaf