“Tak Kisahlah Dapat Nombor Berapa Pun, Yang Penting Saya Nak Sampai Final,” – Usop Optimis, Percaya Rezeki Sertai Big Stage

Share

Meski sedia dikenali sejurus menyertai Mentor, Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim tidak menganggap itu sebagai satu kelebihan yang dimiliki dalam pertandingan Big Stage 2020 yang bakal bersiaran tidak lama lagi.

Malah, penyanyi kelahiran Kulim, Kedah ini memberitahu, dia tidak meletakkan dirinya di zon selesa dalam program realiti nyanyian berkenaan.

“Bukan senang nak jadi juara, sangat tertekan. Jadi saya akan buat yang terbaik, tak kisah lah dapat nombor berapa pun yang penting saya nak sampai final itu sahaja. Tak juara pun tak apa.

“Tidak dinafikan dalam banyak-banyak peserta saya yang paling dikenali, banyak peminat, dan paling banyak pengikut.

“Jadi saya takut sekiranya terjadi apa-apa pada saya di pentas Big Stage, automatik saya akan jatuh, malu dan sebagainya.

“Apa-apa pun saya kena kerja kuat dalam pertandingan ni,” katanya.

Di samping itu, penyanyi berusia 23 tahun ini menjelaskan, dia tidak berasa bimbang sekiranya menerima komen negatif selepas ini.

Malah penyanyi lagu Aku Yang Bersalah ini percaya kepada rezeki.

“Benda dah rezeki kan? Kalau orang nak cakap macam tu cakap lah. Nak buat persembahan macam biasa dah tak boleh sebab PKP jadi dengan Big Stage ini saya dapat rezeki saya.

“Rezeki masing-masing dan saya positif sahaja,” jelasnya lagi.

Terdahulu, bintang ini ditemui pada sidang media Big Stage 2020 yang di The Starling Mall, Damansara.

Big Stage 2020 turut menampilkan komposer terkenal Ajai, penyanyi Faizal Tahir dan Dayang Nurfaizah sebagai juri professional.

Disamping itu, selebriti terkenal Michael Ang, Caprice dam Neelofa bakal dilantik sebagai presiden netizen yang berperanan mengadili persembahan peserta bersama juri professinal

Semua peserta bakal berentap selama 8 minggu secara siaran langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula 16 Ogos depan, setiap hari Ahad jam 9 malam di saluran Astro Ria, Ria HD dan Astro Go.

Published by
Nazar Rafiqhi