“Tak Mahu Nyanyi Lagu Patah Hati Dah,”- Cakra Khan

Share

Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan mengakui dirinya mahu buat kelainan untuk melancarkan album terbarunya yang bakal dilancarkan hujung tahun ini.

Kongsi penyanyi yang popular dengan lagu Harus Terpisah ini, dia mengambil  keputusan untuk tidak menyanyikan lagu-lagu ‘patah hati’ seperti barisan lagu-lagu nyanyiannya sebelum ini.

“Jika album pertama saya ada banyak lagu-lagu yang berunsur patah hati, tetapi kali ini untuk album baru semuanya berunsur lagu-lagu positif dan kebahagiaan.

“Saya sudah tidak mahu lagi mengeluarkan lagi lagu berunsur patah hati.

“Jika kita sentiasa rasa bahagia dan gembira pastinya ia juga akan mempengaruhi minda kita. Itu antara mesej yang saya mahu ketengahkan dalam lagu baru akan datang ini,” katanya kepada MH.

Cakra, 27, ketika ditemui di sidang media Big Stage 2019 di Damasara Utama pada Selasa berkata, dia akan memberikan tumpuan sepenuhnya dalam pasaran menerusi aplikasi digital.

“Album ini akan berada di pasaran selewat-lewatnya pada hujung tahun ini. Kalau diikutkan situasi pasaran muzik sekarang, memang saya akan lebih beri perhatian kepada jualan lagu menerusi aplikasi digital kerana jualan album fizikal kurang mendapat sambutan,” jelas Cakra atau nama penuhnya Cakra Konta Paryaman.

Dalam perkembangan lain, Cakra turut menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap program realiti, Big Stage 2019 bagi mencungkil bakat-bakat ‘Budak-Budak Baru Nak Up’ (BBNU).

Big Stage 2019 akan bersiaran mulai 18 Ogos ini di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Seramai 12 peserta akan bersaing dalam program realiti tersebut iaitu Santesh, Adzrin, Irfan Harris, Kucaimars, Neeta, Syada Amzah, Fieya Julia, Sheryl Shazwanie.

Sementara empat peserta luar negara yang turut bersaing ialah Aziz Harun (Brunei), Jang Han-Byul (Korea Selatan), Chaleeda Gilbert (Thailand) dan Dinda Permata (Indonesia).

Foto : Instagram Cakra Khan

Published by
Amynur Akmal