Pelakon dan penyanyi, Fida Ibrahim memberi amaran kepada bekas rakan kongsi untuk tidak lagi menggunakan gambar serta hasil kerjanya bagi tujuan promosi.
Menurut Fida atau nama sebenarnya, Rafidah Ibrahim, kerjasamanya bersama syarikat berkenaan sebenarnya telah lama berakhir.
“Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Hari ni saya ingin buat pengumuman bahawasanya saya sudah tidak bersama lagi dengan company lama iaitu Arisprop / Aris Burger.
“Terima kasih buat semua yang sudi memberikan sokongan pada saya selama ini sepanjang saya bersama dengan syarikat itu.
“Sedemikian dengan itu, saya memohon pihak syarikat Arisprop Holdings Sdn Bhd / Aris Burger untuk tidak lagi menggunakan segala hasil kerja mahupon wajah saya walau di mana medium sekalipon.
“Saya terpaksa membuat secara terbuka kerana sebelum ini saya sudah memberitahu pada pihak berkenaan tapi masih lagi menggunakan hasil kerja saya yang pihak syarikat tidak bayar,” tulisnya.
Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh pelakon filem, Adik Manja Returns itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di laman Instagram.
Dalam pada itu, Fida turut menegaskan sekiranya perkara tersebut masih berlaku, dia tidak akan teragak-agak untuk membawa isu ini ke muka pengadilan.
“Untuk mengelakkan tindakan undang-undang diambil, sekali lagi SAYA TEGASKAN untuk menurunkan segala yg berkaitan dengan saya termasuk video TVC yg dihasilkan oleh saya.
“Sekiranya, tak mampu nak bayar saya, sekurang-kurangnya pihak syarikat biarlah ada sedikit rasa malu.
“Kerja adalah sebahagian daripada ibadah. Carilah tempat kerja yg kita selesa, maruah terpelihara dan paling penting yang mengundang barokah,” tegasnya lagi.
Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen menyatakan sokongan terhadap Fida selain turut berharap agar insiden seperti ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.
“Semoga dipermudahkan segalanya
“Laa wujud lagi eh orang yang nak kerja free ni. Semoga Cik Fida murah rezeki di tempat lain.
“Semoga Allah permudahkan urusan adik dunia akhirat,” antara reaksi-reaksi netizen di laman Instagram.
Terdahulu, Fida difahamkan pernah menjalankan beberapa perniagaan termasuk produk kecantikan dan wangian, namun mula aktif dalam bidang perniagaan makanan sejuk beku selepas menjadi rakan kongsi perniagaan tersebut pada 2018.
Fida yang popular dengan lagu Apo Kono Eh Jang mendirikan rumah tangga dengan bekas pengurusnya, Shahzemir Shahzulkarib pada Mei lalu.
Sumber: Instagram Rafidah Ibrahim