Menyedari tekanan yang semakin menguasai golongan millennial, Mimi Lana punya pendapat tersendiri.
Jelasnya, sebagai selebriti, media sosial perlu untuk mendekatkan diri dengan peminat, namun jika ia hanya membawa kerosakan, jangan pernah ragu-ragu tinggalkannya.
“Kita tidak mampu mengawal media sosial. Saya sendiri hanya gunakan media sosial untuk bekerja.
“Saya tidak pernah kongsikan hal peribadi kerana tahu betapa bahayanya kesan kepada diri.
“Untuk mereka yang ada masalah depresi, cuba berehat dan jauhkan diri sebentar. Itu adalah jalan terbaik, tidak mati pun jika tiada Facebook atau Instagram,”
jelasnya kepada MH.Terdahulu, bintang tinggi lampai ini ditemui pada Malam Gala Pusaka di The Starling Mall baru-baru ini.
Tambahnya lagi, tidak perlu mengambil serius komen yang ditulis netizen sehingga mendatangkan tekanan kepada diri.
“Saya sendiri menganggap mereka yang komen di laman Instagram adalah robot kerana kami saling tidak mengenali. Bagi saya netizen yang memberi komen, ada kalanya mereka tiada niat pun.
“Cuma ada kalanya kita terlalu mengambil serius dan itu menyebabkan depresi,” ulasnya lagi.
Tiada masalah dengan kritikan mengenai tubuh badannya, Mimi juga akui dia tidak pernah rasa tertekan.
Sebaliknya hanya membiarkan kata-kata itu berlalu seperti angin lalu.
“Saya tidak pernah terganggu dengan kenyataan terlalu kurus.
“Cuma sedikit kacau apabila ada yang memberi mesej secara peribadi mengatakan saya ada depresi dan tidak mahu keluar rumah.
“Mereka boleh katakan apa sahaja mengenai saya dan saya tidak pernah ambil kisah. Saya tidak pernah depress.
“Media sosial adalah tempat untuk saya dekatkan diri dengan peminat, jadi segala komen berbentuk kritikan, ada kalanya saya balas,” katanya lagi.
Pelakon berusia 23 tahun ini turut menasihati golongan selebriti agar berhati-hati dalam berkongsi pandangan atau peribadi di ruang sosial.
“Sepatutnya apabila bergelar selebriti, kita harus berjaga-jaga untuk melakukan sesuatu kerana ia datang dengan akibat.
“Jika ada artis yang sengaja melakukan provokasi, fikir baik-baik sebelum akhirnya memakan diri,” luahnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Mimi Lana membarisi filem Pusaka bersama Syafiq Kyle, Fauziah Ahmad Daud, Faizal Hussein, Hafidz Roshdi, Sweet Qismina dan Aleza Shadan dan bakal ditayangkan pada 31 Oktober ini.