“Tak Mengapa Hilang Job, Allah Ganti Rezeki Lain,” – Tolak Tawaran Adegan Bilik Tidur, Ezlynn Mahu Jaga Imej Berhijab

Share

Penyanyi, Ezlynn mengakui dirinya kini semakin selektif dalam setiap tawaran yang akan diterimanya.

Memetik laporan Kosmo Online, Ezlynn mendedahkan dia tidak berasa kesal seandai harus menolak beberapa tawaran yang kurang bersesuaian dengan dirinya lebih-lebih lagi bila melibatkan imejnya sebagai seorang wanita berhijab.

“Situasi pandemik Covid-19 yang melanda dunia turut memberi kesan kepada ramai orang termasuk saya apabila tiada lagi undangan persembahan mahu pun lakonan hingga perlu cari alternatif lain demi sesuap nasi.

“Saya pernah dapat tawaran bawa watak isteri. Dia tidak kisah saya sudah bertudung, cuma beri syarat untuk adegan dalam bilik tidur bersama ‘suami’, saya diminta mengenakan serkup kepala sahaja.

“Bukan perasan bagus, saya terpaksa tolak secara baik. Saya tahu masih ada yang tak faham biarpun serkup tidak menampakkan rambut, aurat lain termasuk leher masih kelihatan. Jadi lebih baik pendirian ini saya tegaskan supaya tidak menyusahkan pihak produksi nanti.

“Tak mengapa hilang ‘job’ itu kerana yakin Allah akan ganti rezeki lain. Mujur mereka faham malah saya sangat hargai ingatan pihak terbabit. Andai ada tawaran lain selepas ini, saya takkan menolak jika masih boleh berhijab penuh,” katanya seperti yang dipetik.

Kata penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye ini lagi, dia kini sedang berusaha untuk mendekatkan diri dengan agama meskipun mengakui harus berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Setiap insan ingin ke arah yang lebih baik, begitu juga saya. Dalam tiga, empat tahun lalu saya belajar betulkan dan lengkapkan solat, mendekati al-Quran, imarahkan majlis agama dan sebagainya kerana saya ada banyak kekurangan.

“Selepas itu saya mula jaga pertuturan dan pemakaian. Lama-kelamaan saya berhijab tetapi saya enggan bertudung sebab fesyen semata-mata. Jadi, saya tutup aurat dengan mengenakan stoking tangan dan kaki sampailah sekarang.

“Dugaan memang banyak namun kita kena istiqamah, tambahan pula insan seperti saya yang masih perlu banyak belajar. Oleh kerana itu saya jadikan laman sosial sebagai medan tambah pahala dengan berkongsi pelbagai ilmu bermanfaat kepada diri dan orang lain.

“Saya juga padam gambar lama, segan ingat kekhilafan lalu namun jika ada video atau gambar tak berhijab dalam medium lain, itu semua di luar bidang kuasa saya, janji Allah tahu saya sudah berubah. Semua itu juga jadi pengajaran pada diri sendiri,” ulasnya lagi.


Mengakui pendamik Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan sumber pendapatannya, Ezlynn memaklum dia sedia melakukan apa sahaja jenis pekerjaan asalkan ianya membawa kepada rezeki yang halal.

“Kalau ikutkan dugaan musim Covid-19 ini cukup mencabar. Saya tak kisah buat apa pun janji dapat rezeki halal. Pembabitan dalam APM pula antara cara saya kurangkan tekanan. Daripada meratapi nasib, lebih baik saya buat kerja amal.

“Insya-Allah rezeki itu akan datang kemudian, mungkin dalam keadaan lain. Namun kalau pasal berlakon atau menyanyi, saya tetap sedia terima sebab ini adalah tempat saya cari makan,” akhirinya.

Published by
Aizam Manaf