Pelawak, Sharif Zero menjelaskan niatnya berkongsi mengenai pengalaman hitam yang pernah dilalui oleh adiknya yang juga pelawak, Atu Zero di sebuah program podcast adalah bertujuan untuk memberikan inspirasi buat masyarakat.
Menurut Sharif atau nama sebenarnya, Sharif Kadir Doli Sharif, Atu berhak untuk meluahkan rasa kecewa namun dia merasakan hal ini tidak perlu diperbesarkan sehingga pengetahuan orang luar.
“Kalau dia fikir saya sebarkan aib, terpulanglah. Saya hanya ingin berkongsi pengalaman yang dia lalui untuk dijadikan inspirasi buat orang-orang di luar sana.
“Apapun, dia berhak untuk bersuara. Namun, pada saya, jika hal berkaitan keluarga ini, biarlah kami berbincang sesama sendiri.
“Tak perlulah dibawa sehingga ke platform media sosial,” katanya kepada MH.
Sharif berkata demikian ketika ditemui di konsert akhir Famili Duo 4 yang berlangsung di Studio NTV7, Shah Alam pada Ahad.
Katanya lagi, dia sendiri tidak menyangka
perkongsiannya itu bakal menimbulkan rasa kurang senang di hati adiknya itu.
“Kalau nak bandingkan dengan kisah saya, tak banyak yang menyeronokkan. Saya ini kaki lepak sahaja di kampung satu ketika dahulu. Sebelum ini, mereka okay sahaja bila saya berkongsi kisah mereka.
“Mungkin ketika itu kami tidak buat podcast bersama kerana kami sibuk dengan urusan masing-masing. Jadi, penerimaan kita berbeza.
“Kami juga sudah biasa membahan diri masing-masing. Ada kalanya, apa yang kita kongsikan di podcast itu hanyalah melawak tapi orang lain anggap ia serius.
“Dalam podcast, saya rasa hos juga memainkan peranan ketika memberikan reaksi terhadap sesuatu isu. Janganlah headline perkara lawak sahaja. Isinya juga harus ditekankan,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Sharif memaklumkan hubungannya bersama Atu masih lagi baik dan berhubung seperti biasa.
“Hubungan kami tiada masalah dan kami masih berhubung seperti biasa. Kami ada bercakap juga mengenai isu baru-baru ini. Dia pun okay sahaja.
“Niat saya hanyalah untuk memberikan inspirasi tapi disalah anggap. Dia berhak bersuara sebab saya bercerita mengenai dia. Mungkin saya juga terlepas cakap. Kalau saya salah, saya mohon maaf.
“Saya sebenarnya bangga perjalanan hidup Atu selama ini. Tak mengapalah, jika banyak pihak yang terasa, selepas ini, saya akan berkongsi kisah saya sahaja,” akhirinya.
Sebelum ini, Sharif ada berkongsi kisah mengenai kehidupan Atu sebelum bergelar
pelawak.
Menurut Sharif, Atu pernah melalui fasa hidup yang sangat gelap dan tidak mempunyai harapan untuk hidup gara-gara terjerumus dengan gejala dadah.
Bagaimanapun, menerusi satu sesi temu bual, Atu memaklumkan dia tidak berkecil hati namun berharap abangnya hanya berkongsi kisah dirinya tanpa melibatkan orang lain selepas ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.