“Tak Nak Mereka Ingat Saya Bercakap Macam Pandai Sangat,” – Jadi Juri ATNMY2, Ini Dilema Danial Chuer

Share

“Kalau komen saya terlalu teknikal, kita akan nampak berlagak. Kalau saya ‘play safe’ pula, ia akan merugikan peserta itu sendiri.”

Demikian dilema yang dihadapi penyanyi, Danial Chuer selepas diumumkan sebagai salah seorang daripada 50 juri bagi program realiti nyanyian, All Together Now musim ke-2 (ATNMY2).

Menurut Danial, dia harus menyusun kata-katanya agar komen-komennya itu akan mudah difahami dan memberi manfaat kepada para peserta.

“Pengalaman di ATNMY2 sangat seronok tapi pada masa sama ada tekanannya juga. Nak berikan komen pada peserta ini bukan mudah lebih-lebih lagi dengan kehadiran saya sebagai penyanyi yang masih baru.

“Saya berikan komen atas kapasiti sebagai orang yang punyai pengalaman membuat persembahan di atas pentas. Tekanan yang harus saya hadapi adalah untuk memberikan pemahaman kepada para peserta mengenai komen-komen saya,” katanya kepada MH.

Pada masa sama, naib juara program Big Stage 2022 ini juga mendedahkan dia sebolehnya tidak mahu menjatuhkan moral para paserta yang telah bertungkus lumus memberikan persembahan terbaik di program ini.

“Saya juga hanya berkongsi pengalaman. Kebanyakkan komen-komen saya adalah kepada penyanyi muda seusia saya. Pada masa sama, saya tak mahu komen-komen saya kedengaran terlalu teknikal atau play safe.

“Saya mahu para peserta ini berasa selesa bila dikomen seperti perkongsian daripada kakak atau abang. Saya tak nak mereka rasa komen-komen saya ini tidak membantu untuk perbaiki nyanyian mereka,” ujarnya lagi.

Danial berkata sedemikian ketika detemui di majlis sidang Media ATNMY2 yang berlangsung di Hotel Primera, Kuala Lumpur pada Rabu.

Ketika ditanya adakah dia mempunyai keterbatasan untuk memberikan komen kepada peserta yang lebih berusia, Danial memberitahu dia mempunyai caranya yang tersendiri.

“Tak kisahlah umur berapa pun, tanggungjawab saya di ATNMY2 ini adalah untuk memberikan komen. Kita ada 50 juri dan kami kami punyai lain-lain pendapat. Komen saya adalah daripada telinga orang-orang muda yang mengikuti trend muzik semasa.

“Untuk menjurikan penyanyi yang lebih berusia pula, saya gunakan bahasa yang lebih mudah supaya mudah diterima. Saya tak nak mereka merasakan saya ni ni bercakap macam pandai sangat.

“Saya tahu lain umur, lain caranya. Faktor usia pun mempengaruhi nyanyian,” akhirinya.

Pada musim kali ini, tugas selaku kapten juri akan disandang oleh penyanyi dan guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat dan akan dibantu oleh penasihat utama yang juga merupakan komposer terkenal Ajai.

ATNMY2 masih lagi munggunakan konsep yang sama dengan mengekalkan jumlah juri seramai 50 orang yang terdiri daripada selebriti tempatan.

Pengacara, Sherry Alhadad juga masih dikekalkan di dalam program ini.

Rakaman konsert mingguan ATNMY2 akan berlangsung selama 9 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 11 Disember 2022 menerusi saluran Astro Ria (104).

ATNMY2 turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf