Terkesan akibat pandemik Covid-19, vokalis kumpulan, Floor 88, Ayie Elham kini boleh menarik nafas lega selepas bisnes restorannya ketika ini sudah kembali rancak beroperasi seperti biasa.
Menurut Ayie atau nama sebenarnya, Nik Fadlee Elhamshah, meskipun keadaan masih terkawal, namun, dia berharap agar pihak kerajaan tidak lagi menguatkuasakan satu lagi fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Alhamdulillah, business pun dah boleh dikatakan dah kembali pulih. Para pelanggan pun dah bertambah ramai. Saya cuma risau bila kes dah naik ni, kita akan lalui satu lagi fasa PKP.
“Kalau boleh saya tak nak lagi fasa PKP dimana pelanggan tak boleh lagi dine in. Situasi tersebut agak menyakitkan kami.
“Alhamdulilah, kami masih lagi boleh bertahan walaupun berdepan sedikit cabaran. Segalanya masih lagi boleh diatasi,” katanya.
Penyanyi asal Tawau, Sabah ini berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media pengumuman Konsert Infinity Eighty8 yang berlangsung di Grand Barakah Hotel, Ampang pada Khamis.
Dalam pada itu, Ayie turut memaklumkan dia dan isteri kini sedang merancang untuk membuka sebuah gerai yang menjual nasi lalap di tepi jalan.
Katanya lagi, dia enggan mengambil pusing terhadap tanggapan segelintir pihak mengenai keputusannya untuk membuka gerai di tepi jalan.
“Sekarang ini pula, saya nak merasa untuk berniaga di tepi jalan. Buka khemah dan berniaga secara ‘sempoi’ bersama orang ramai.
“Salah satu sebabnya, cara ini lebih senang. Kita tak payah fikir fasal sewa. Hanya perlu punyai lesen dan dah boleh pacak khemah. Saya pun suka beli makanan di tepi jalan.
“Tak payah fikir la kita ni artis atau orang kenal kita. Sekarang ini semua orang tengah struggle. Jadi, saya dan isteri fikir cara ini lebih senang. Tak perlu fikir kos overhead yang tinggi.
“Kami akan berniaga nasi lalap yang merupakan makanan popular di Sabah. Saya pun asal dari Tawau. Jadi saya bawa makanan sana ke sini.
Dalam perkembangan lain, kumpulan Floor 88 bakal mengadakan konsert berskala pada 27 Mac depan.
Sebanyak 13 lagu akan dipersembahkan dengan susunan muzik yang berbeza dan tidak pernah ditunjukkan oleh Floor 88 sebelum ini.
Tiket akan bermula dengan harga RM60 untuk zon C, RM150 zon B, RM200 zon A dan RM300 untuk zon VVIP.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI