Penyanyi dangdut popular, Mas Idayu lebih senang jika namanya tidak dibanding-bandingkan dengan barisan juri profesional mana-mana program realiti nyanyian yang lain di negara ini.
Mas Idayu atau nama sebenarnya Masidayu Mesnun berkata, sepanjang berada di kerusi juri, dia hanya memberikan fokus terhadap input yang akan diberikan.
Malah dia juga tidak pernah mempertikaikan cara penjurian orang lain.
“Tak perlu pun nak membanding-bandingkan. Saya hanya menjadi diri sendiri. Saya pun tak nak jadi orang lain. Saya tak pernah memberikan komen terhadap kawan-kawan atau sesiapa sahaja yang menjadi juri.
“Pernah ke anda dengar saya komen juri di program lain. Sekali pun saya tak pernah kacau orang tapi diri saya ini ramai yang kacau sebab mereka tak suka cara saya.
“Apa yang boleh saya buat? Dalam dunia ini, bukan kita hidup seorang. Ada ramai di sekeliling kita. Jadi, saya memang kena tempuh perkara ini sama ada suka atau tidak,” katanya kepada MH.
Mas Idayu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media single terbaharunya yang berjudul, Harum Mekar Di Hati yang berlangsung di Red Box, The Curve, Petaling Jaya pada Khamis.
Pada masa sama, penyanyi lagu Selangit ini juga enggan melayan provokasi segelintir pihak yang memintanya untuk menyertai pertandingan nyanyian bagi membuktikan kemampuannya sebagai penyanyi.
“Tak perlulah. Saya sudah tidak layak nak masuk pertandingan. Saya tak perlu nak menjatuhkan diri. Lagipun, saya masih relavan di dalam industri. Bukannya nama saya sudah tiada.
“Hanya kerana komen netizen, saya nak kena dengar cakap mereka ke? Perkara ini terjadi sebab ada yang tidak berpuas hati. Bila sudah meningkat usia, bukan sahaja menyanyi, bercakap pun suara kita akan menggigil.
“Apa yang saya kongsikan ketika menjadi juri adalah melalui pengalaman sewaktu saya berjaya dahulu. Terpulang nak ikut atau tidak.
“Kejayaan yang saya kecapi dahulu, belum tentu anda boleh dapat. Saya duduk di kerusi juri itu bukan saja-saja. Saya pernah menang Anugerah Industri Muzik dan Artis Dangdut Terbaik,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, juri program Famili Duo musim keempat ini juga akui dirinya sudah lali untuk berhadapan dengan kecaman sepanjang lebih sedekad bergelar juri.
“Sepanjang menjadi juri, sejak isu Sissy Iman dan Thamira, memang saya jadi sasaran. Pada saya, biarlah saya yang kena. Jangan peserta saya. Saya sudah biasa dimaki.
“Sepanjang 12 tahun ini, hati saya sudah kental. Jangan kacau peserta saya. Saya pula sejenis yang tidak melayan,” akhirinya.
Terdahulu, Mas Idayu baru sahaja melancarkan single terbaharunya yang berjudul Harum Mekar Di Hati.
Single bergenre pop rock ini telah mendapat sentuhan daripada komposer terkenal, Ajai manakala penulis liriknya pula adalah Raizo Almirez.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI