Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad akui tidak terkesan dengan kecaman yang dilemparkan oleh segelintir pihak gara-gara lantang bersuara mengenai isu ganguan seksual terutamanya melibatkan kanak-kanak sejak akhir-akhir ini.
Menurut Uyaina, kecaman tersebut tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat.
“Saya berada di dalam industri ini bukannya baru semalam. Orang boleh berkata apa sahaja, saya sudah lali. Kadang kala, bila kita tak ambil tahu, ada juga baiknya.
“Setiap kecaman, makian, kritikan dan kutukan, saya terima. Saya tak serik untuk bersuara lagi,” katanya kepada MH.
Pengacara program Wanita Hari Ini itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pengumuman malam kemuncak Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-36 di Courtyard By Marriot, Kuala Lumpur pada Rabu.
Pada masa sama, Uyaina turut mengulas mengenai sikap segelintir pihak yang masih mempertahankan tindakan ‘Abang Bas’ yang sebelum ini ditahan atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak terhadap kanak-kanak perempuan.
“Pada saya, ini adalah cabaran untuk mendidik masyarakat. Saya bukan nak suruh orang dengar cakap saya sebab saya ada latar belakang dalam bidang perundangan.
“Tak perlu jadi peguam pun untuk bercakap tentang perkara ini. Kita kena ada otak sahaja. Perkara ini sudah ada di dalam akta dan bukan saya yang gubal akta tersebut.
“Apa yang individu itu lakukan adalah salah di sisi undang-undang. Siapa saya untuk bercakap sesuka hati? Saya cakap berdasarkan fakta.
“Nak cakap saya ‘terpaling’, terpulanglah. Saya cuma nak pupuk kesedaran,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai reaksinya bila ada pihak yang memberikan sumbangan untuk mengumpul wang ikat jamin ‘Abang Bas’, Uyaina berpandangan setiap orang berhak mendapatkan pembelaan.
“Itu duit mereka. Saya selalu percaya, seseorang itu tidak bersalah selagi belum dijatuhkan hukuman. Ini adalah undang-undang yang terpakai untuk semua orang.
“Alhamdulillah, ada peguam yang mahu mengambil kes dan membela ‘Abang Bas’ secara probono. Itu adalah hak asasi yang perlu diberikan kepada semua orang.
“Kita berhak mendapatkan peluang untuk mempertahan diri sendiri. Saya tidak menjatuhkan hukuman kepada ‘Abang Bas’. Itu adalah tugas mahkamah. Saya di sini hanyalah untuk memberi kesedaran,” akhirinya.
Sebelum ini, Uyaina meluahkan rasa kecewa dengan tindakan seorang pemandu bas yang merakam video pelajar sekolah.
Menurutnya, perbuatan tersebut dilihat boleh menyumbang kepada jenayah melibatkan kanak-kanak.
Pemandu bas lebih dikenali sebagai ‘abang bas’ itu didakwa di Mahkamah Muar, Johor atas pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan namun dibebaskan semalam dengan bayaran jaminan sebanyak RM40,000.
Rentetan itu, keluarga ‘Abang Bas’ melahirkan hasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan selebriti yang didakwa mengundang syak wasangka serta kecaman terhadap mereka sebelum ini.
Antara nama ‘dipetik’ netizen ialah Uyaina dan Diana Danielle kerana dilihat lantang bersuara mengenai isu berkaitan Abang Bas dalam media sosial.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.