Penyanyi Roy Kapilla tidak menafikan dia seolah-olah sudah boleh agak bakal menjadi peserta yang tersingkir pada minggu kedua saingan program Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) susulan prestasi yang diberikan menerusi persembahannya.
Malam tadi, Roy yang juga vokalis kumpulan Kapilla itu membawakan lagu Izinkan Selamanya Namamu Di Hati nyanyian asal kumpulan EYE menerima markah paling rendah dalam kalangan 13 peserta yang bertanding iaitu sebanyak 53.20 peratus.
“Sebenarnya saya sudah tahu dan sudah nampak daripada awal-awal. Jadi saya keraskan semangat, datang juga (meneruskan persembahan). Itulah secara ringkasnya begitulah.
“Saya sudah tahu apa yang saya lakukan di atas pentas… Apabila saya ke belakang saya sudah tahu. Tak perlu tertanya-tanya, saya sudah tahu kemana saya akan pergi,” katanya kepada MH.
Berkongsi lanjut, Roy akui persembahannya nyanyiannya tidak berapa baik selain akui rasa gementar ketika membuat persembahan.
Artikel Berkaitan;
Penampilan Penyanyi Masih Aktif Di GV9; Ini Kenyataan Astro
“Banyak yang tak okay, sebagaimana yang diberitahu Tok Ram (Ramli MS) adalah betul. Seratus peratus memang betul,” katanya lagi.
Tidak mahu menoleh ke belakang, Roy yang sinonim menerusi lagu seperti Merindu Tanpa Kata dan Dikir Rambong optimis untuk kembali aktif dalam gelangang dunia seni tempatan.
Disember tahun lalu, Roy pernah muncul dengan lagu genre dikir, Guano Demo dan Joget Dikir Menghibur Hati yang turut menampilkan penyanyi, Beby Acha.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.