Selepas tular kisah seorang pemuda OKU yang dikenali sebagai Syukri singgah di kediaman Datuk Seri Aliff Syukri baru-baru ini, Datin Shahida berkongsi kisah bersama teman media.
Ulasnya, Syukri atau lebih mesra digelar Boy kini telah menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.
Malah, Shahida turut berkongsi bagaimana permulaan kisah pertemuan empat mata dengan pemuda dari Segamat ini.
“Syukri datang ke pondok pengawal dan membawa gambar suami. Pada mulanya suami tidak mahu melayan namun saya nasihatkan agar pergi berjumpa. Lagipun dia OKU. Dia datang ke sini menaiki bas.
“Kami berkomunikasi menerusi mesej dan dia nyatakan hasrat ingin bekerja dengan gaji RM500,” jelasnya kepada MH.
Keistimewaan pemuda ini menimbulkan rasa insaf dalam jiwa Shahida dan rasa simpati mendorong kuat untuk membenarkan Syukri bekerja di bawah mereka.
“Saya tiada masalah dia bekerja di sini. Dan penerimaan itu lebih kepada rasa simpati. Bila melihat dia, saya terbayang akan sikap diri yang suka mengeluh. Kadang kala melihat perangai suami, saya tertanya-tanya mengapa dia begitu. Namun bila tengok Boy yang serba kekurangan membuatkan saya bersyukur dan insaf,” tambah ibu kepada empat orang anak ini.
Kehadiran pemuda berusia 22 tahun ini disifatkan Aliff sebagai penyeri dan meringankan beban kerana sikap ringan tulangnya. Malah, dia cukup bijak menghidupkan suasana.
“Sebelum ini saya tidak pernah mengambil pekerja OKU kerana risau dengan persepsi golongan ini pemalas, namun Syukri berbeza. Dia sangat rajin bekerja.
“Malah dia selalu menemani saya mendaki bukit, menjaga stor, pandai menjaga Yusoff dan pelbagai lagi.
“Tidak dinafikan ramai yang mesej saya meminta agar menjadikan anak mereka sebagai anak angkat namun saya tolak cara baik,” ulas penyanyi Bobo Di Mana ini.
Difahamkan Boy mempunyai kembar perempuan, namun kembarnya boleh bertutur seperti biasa. Ibunya pula seorang penoreh getah.