Pelakon dan penyanyi, Nabila Razali mendedahkan dia tidak pernah terfikir yang dirinya mampu untuk memiliki rumah sendiri yang mencecah nilai jutaan ringgit.
Menurut Nabila, dia sangat bersyukur kerana rezekinya telah dipermudahkan sepanjang berkecimpung di dalam dunia seni.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana segala urusan untuk memiliki rumah pertama telah dipermudahkan. Saya sebenarnya tak pernah impikan yang diri saya mampu memiliki rumah sendiri.
“Kalau ikutkan perancangan asal, bila saya tamat pengajian dahulu, saya perlu bekerja dan mungkin selepas itu, baru saya boleh merancang untuk memiliki rumah sendiri. Jadi, prosesnya mungkin agak lambat.
“Namun, bila Allah murahkan rezeki saya di dalam industri seni ini, segalanya seperti dipermudahkan,” katanya kepada MH.
Bagaimanapun, Nabila mendedahkan dirinya harus cekal untuk mendisiplinkan diri dan merancang kewangannya dengan baik.
“Bagaimanapun, urusan pembelian ini tidaklah berlaku dalam waktu yang singkat. Prosesnya berjalan agak lama juga. Bukan bermaksud bila dah ceburi bidang seni ini, terus saya boleh beli rumah. Ia bukan begitu.
“Saya banyak menyimpan dan menjaga nafsu untuk membuat pelbagai perkara. Alhamdulillah, segalanya berjalan seperti apa yang dirancang,” ujarnya lagi.
Penyanyi lagu Peluang Kedua itu berkata sedemikian ketika menganjurkan majlis rumah terbuka di kediamannya di Rawang, Selangor pada Ahad.
Meskipun sudah memiliki hampir segalanya, Nabila memaklumkan dirinya tidak kisah untuk sama-sama membangunkan keluarga bersama bakal suami.
“Saya mahu suami yang rajin juga. Saya tiada masalah untuk sama-sama berusaha. Itu sudah cukup buat saya. Bagaimanapun, saya percaya, sebagai wanita, kita kena tahu untuk berdiri di atas kaki sendiri.
“Walau apa yang terjadi, kita mampu untuk mengharunginya tanpa bergantung harap kepada sesiapa. Lebih-lebih lagi ketika keadaan ekonomi yang tidak berapa baik sekarang ini.
“Masing-masing kena pandai jaga diri dan fikir untuk masa hadapan,” katanya lagi.
Ditanya tentang cabaran para anak seni untuk memiliki aset sendiri memandangkan status mereka sebagai ‘freelance’, Nabila memaklumkan segalanya boleh dirialisasikan dengan ilmu.
“Sejak kecil, saya diajar cara menyimpan duit dan melabur. Ketika ini pula, saya sedang belajar tentang menyimpan emas. Banyak medium yang boleh kita belajar.
“Sewaktu membuka syarikat sendiri, saya dah mula untuk mengadakan slip gaji. Dokumen yang artis susah nak ada, kita adakan. Walaupun tak tahu, kita kena bertanya. Kalau tak bertanya, selamanya perkara itu akan jadi susah.
“Bila ada duit, memang semua benda boleh beli tapi kertas kerja kena buat juga. Saya bukanlah lahir-lahir terus tahu beli rumah. Saya ada berjumpa juga dengan pejuang hartanah untuk dapatkan nasihat,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.