Dilamar menjadi salah seorang penyampai baharu stesen radio Era FM, Fazziq Muqris berharap dapat menggalas tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan sebaik mungkin.
Bergandingan dengan Munabella, pasangan itu akan bersiaran dari hari Isnin hingga Jumaat, jam 8 malam hingga 12 tengah malam menghiasi slot Daebak Era.
Bercerita lanjut mengenai tawaran berkenaan, Fazziq menjelaskan, dia menerima pelawaan tersebut untuk menyahut cabaran baharu dalam bidang seni yang diceburinya.
“Saya tak pernah terfikir nak jadi penyampai radio dan tiba-tiba dapat peluang… syukur Alhamdulillah.
“Kalau tak grab peluang ini, rasanya macam sia-sia sahaja sebab saya fikir untuk masa depan.
“Walaupun saya tiada apa-apa pengalaman, tapi saya cuba untuk belajar dan memang banyak saya ilmu yang saya dah belajar daripada Muna,” katanya kepada MH.
Fazziq ditemui pada majlis pengumuman penyampai dan slot baharu Era yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Genap berusia 22 tahun pada 29 Jun lalu, Fazziq juga berkata dia lebih selesa menggendalikan semua urusan kerjayanya tanpa menggunakan khidmat pembantu peribadi (PA).
“Saya uruskan kerjaya sendiri tanpa bantuan PA atau syarikat pengurusan sebab saya nak rasa kesusahan (urus kerjaya sendiri).
“Umur 22 ni bagi saya kita kena rasa kesusahan dahulu… jadi ambil cabaran ini cuba untuk uruskan sendiri perjalanan karier seni saya.
“Buat masa ini, memang waktu malam saya akan berada di studio dan untuk lakonan pula memang ia merupakan hobi saya.
“Sekarang pun saya sedang menjalani penggambaran drama siri terbaharu, Projek High Council.
“Saya suka berlakon sebab ia tunjukkan skil bagaimana caranya kita untuk bermain di hadapan kamera dengan pelbagai karakter yang telah diberikan kepada kita,” katanya lagi.
Nama Fazziq kian dikenali selepas memenangi tempat ketiga pertandingan Hero Remaja 2021.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI