Bagi pereka muda Amirul Safwan, tiada kata yang boleh digambarkan apabila penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengenakan busana rekaannya lebih-lebih lagi dalam sebuah konsert mega penyanyi berkenaan.
Pengasas jenama Bianca Bella, Amirul, 28, berkata dia dan pasukannya teruja saat melihat persalinan mereka menjadi pilihan dan digayakan dalam konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza baru-baru ini.
“Segalanya bermula ketika kami diberi kepercayaan menyiapkan baju TokTi pada persembahan sempena tahun baru dan melawat Melaka 2024 lalu, di situ detik perkenalan bermula.
“Bila mendapat peluang untuk menyediakan busana sempena konsert TokTi saya dan pasukan tahu ini peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan,” katanya.
Digelar Adik Bianca oleh Siti Nurhaliza, Amirul berkata baju berkenaan dalam rona emas merah hati disiapkan dalam tempoh sebulan serta dibantu Shafik Izzuddin dan Norshazratul Aisyah.
Katanya, warna dan material yang digunakan bagi busana itu ialah songket tempatan yang dipilih sendiri oleh Siti Nurhaliza.
Siti mengenakan persalinan tersebut menerusi Nurhaliza pada segmen Bayu Timur di dalam di konsert yang berlangsung pada 9 Mac lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil itu.
“Memang teruja pada masa sama gementar maklumlah kami masih setahun jagung tapi diberi kepercayaan oleh penyanyi hebat seperti TokTi.
“Jujurnya tujuh tahun pengalaman dalam bidang ini saya tidak pernah terlintas akan jahit dan reka pakaian untuk TokTi, ini semua rezeki sangat bermakna,” katanya.
Bianca Bella beroperasi di Duyung, Melaka sudah dua tahun aktif dan menawarkan koleksi rekaan baju eksklusif terutama untuk raja sehari.
Lebih bermakna apabila baju rekaannya itu mendapat pujian ramai termasuk netizen yang memilih ia antara yang terbaik pernah disarungkan oleh penyanyi yang sinonom menerusi lagu Jerat Percintaan itu.
Malah, Siti Nurhaliza turut dipuji kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada pereka muda untuk menyiapkan baju dalam konsert berskala besarnya.
Bercerita lanjut, Amirul mengakui terharu dan kagum dengan sifat merendah diri Siti Nurhaliza.
“Semua proses berjalan dengan lancar dan mudah. TokTi sangat profesional dan tahu apa yang diinginkan oleh dirinya.
“Bagi kami pastinya berusaha mahu memberikan yang terbaik, Alhamdulillah dengan reaksi positif yang diterima lebih-lebih lagi untuk orang baru seperti kami,” katanya lagi.
Amirul juga mengakui berkat doa ibu bapa juga antara yang memungkinkan segalanya dan menjadikan semua ini kenyataan.
“Kami masih baru, ini permulaan yang sangat bermakna dan indah buat kami. Terima kasih kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza, Kak Rozie dan pasukannya yang percaya pada kami.
“Pastinya pengalaman ini sangat berharga buat Bianca Bella dan menjadi pemangkin untuk kami terus menjadi lebih baik,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini