Pelakon senior, Edika Yusof mengulas mengenai satu posting yang dikongsikannya di Instagram, ketika meraikan ulang tahun ke-18 perkahwinan bersama isteri, Norhidayah Yusri, 43, menjadi tular di media sosial.
Memetik Harian Metro, bintang berusia 53 tahun tidak menyangka perkara tersebut akan menjadi perhatian.
“Sejujurnya saya jarang buat hantaran berkenaan isteri saya. Tak sangka pula hantaran berkaitan ulang tahun perkahwinan kami menjadi tular.
“Berkenaan perkara ini, saya setia menjaga Isteri. Bagi saya, sebagai suami saya cuba menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
“Bagi saya tanggungjawab adalah perkara utama dan keduanya disebabkan perasaan cinta dan kasih sayang.
“Saya bersyukur Allah panjangkan jodoh kami dan juga Allah berikan kami kekuatan dalam mengharungi dugaan ini,” katanya.
Menurutnya, biarpun keadaan isterinya yang lumpuh dari dada hingga hujung kaki, mereka sekeluarga cuba untuk menjalani kehidupan senormal yang mungkin.
“Walaupun dengan lumpuh separuh badan, isteri saya mencuba apa yang terbaik dia boleh lakukan. Anak-anak juga banyak membantu,” katanya lagi seperti yang dipetik.
Aktor yang sinonim menerusi filem Maria Marian ini jga pada masa sama enggan mengulas pujian warganet yang membandingkan kesetiaannya terhadap isteri, yang lumpuh sejak 16 tahun lalu dengan orang lain.
Jelas Edika, dia sebenarnya tidak selesa apabila setiap kali ada isu berkaitan selebriti, akan dibandingkan dengannya.
Baginya, setiap bahtera perkahwinan itu mempunyai dugaan tersendiri.
“Semua orang akan melalui dugaan masing-masing. Setiap perkahwinan juga ada dugaannya tersendiri.
“Bagi saya perkahwinan ialah tanggungjawab bersama dan susah senang kita mesti hadapi bersama. Isteri adalah jodoh dan teman sejiwa, bukan pembantu rumah.
“Bersama kita berkongsi tanggungjawab termasuk rutin harian, jaga anak, kerja-kerja rumah dan juga memasak,” katanya.
“Rupa tidak memainkan peranan. Setiap orang mempunyai cara dan pemikiran yang berlainan.
“Apa yang boleh saya katakan di sini, mungkin saudara (selebriti) kita ada masalah tersendiri. Biarlah kita sama-sama belajar daripada kesilapan dan doakan yang baik-baik sahaja.
“Siapa kita untuk menilai mereka kerana kita juga tidak sempurna,” katanya yang setia menjaga isterinya yang lumpuh sejak 16 tahun lalu.
Untuk rekod, Edika bersama isteri dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nazirul Afiq, Fardeen Nasrulhaq dan Fereena Nurulhaq.
Sumber, Foto : Harian Metro, Instagram Edika Yusof, Majalah Nona