Penyanyi Aina Abdul sebak sejurus mengumumkan konsert jelajah pertamanya, Konsert Aina Abdul Imaji Tour yang bakal dilangsungkan di tiga lokasi berbeza bermula 14 Disember depan.
Lebih setahun merancang perjalanan konsert jelajah hingga menjadi kenyataan, penyanyi lagu Sepi itu akui emosi apabila tidak menafikan mengadakan konsert adalah antara cabaran terbesar dalam kerjaya seninya.
“Sebenarnya saya tak sangka akan ‘breakdown’ begini. Sebab apabila sudah bertahun dalam industri seni ini, salah satu ng saya perasan dan belajar ialah bukan satu hal yang mudah untuk penyanyi mengadakan konsert di negara ini.
“Akan tetapi sebagai penghibur sejati yang suka membuat persembahan di sekitar Kuala Lumpur sebelum ini, saya beritahu kepada pasukan saya begini… Apa sahaja yang berlaku, orang akan datang dan pergi di dalam kehidupan kita. Akan tetapi, Aina Abdul perlu kekal di sini dan jayakan juga apa yang telah dirancang (konsert).
“Pada masa sama, ini juga menjadi antara mimpi dan impian saya untuk mempunyai konsert jelajah sendiri. Kerana saya melihat penyanyi yang menjadi idola saya telah mengeluarkan album seterusnya menganjurkan konsert mereka sendiri.
“Jadi saya merasakan, saya perlu lakukan hal serupa demi kepuasan sendiri,” katanya.
Aina berkata demikian ketika sejurus pelancaran konsert jelajah berkenaan di Imperial Lexis Kuala Lumpur, pada Isnin.
Pemilik nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani,30, imi juga memaklumkan untuk mempunyai konsert jelajah sendiri bukanlah niat untuk berlawan dengan mana-mana penyanyi lain.
“Saya bukan nak ‘berlawan’ dengan sesiapa. Akan tetapi saya mahu buktikan kepada diri ini bahawa saya boleh melakukannya juga.
“Saya gembira dengan tiga lokasi yang telah dipilih ini dan saya berharapa para peminat akan dapat merasakan kelainan apabila menonton konsert ini yang pastinya berbeza dengan penganjuran konsert. Itu yang boleh saya janjikan,” katanya lagi.
Konsert Aina Abdul Imaji Tour akan berlangsung di tiga lokasi iaitu Universiti Malaysia Sarawak pada 14 Disember 2024, Zepp Kuala Lumpur (27 Disember 2024) dan Universiti Utara Malaysia (11 Januari 2025).
Untuk harga tiket bagi di UMS dan UUM bermula daripada RM100 (CAT 2), RM150 (CAT 1) dan RM180 (IMAJI Zone).
Sementara bagi lokasi di Zepp KL pula, harga tiket akan dijual bermula dengan harga RM288 sehingga RM6666 bagi VIP Box dan tiket sudah pun dijual bermula hari ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.