“Tak Semestinya Tak Banyak A Tak Jadi Manusia,” – Nad Zainal

Share

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 telah pun diumumkan pada Khamis lalu.

Antara anak selebriti yang menjadi tumpuan ialah seperti penyanyi Datuk Nora dan penyampai radio, Sharifah Shahirah.

Kedua-dua selebriti popular itu berbangga dengan pencapaian anak masing-masing yang lulus semua mata pelajaran.

Berkongsi sama pengalamannya dalam bidang akademik, pelakon Nad Zainal mempunyai pendapatnya tersendiri berhubung keputusan SPM.

Dalam entri itu, Nad memuat naik ketika zaman remajanya, yang mana dia merupakan antara pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik sebelum keputusannya sedikit ‘merosot’ ketika berada di Tingkatan 4.

Menurut pemilik nama sebenar Farah Nadia Zainal Abidin itu, dia menitipkan pesanan buat generasi muda agar tidak terlalu mengejar gred A, sebaliknya lebih memberikan fokus terhadap bidang yang menuntut skil dan kemahiran tertentu.

“Gadis skema, membaca buku atau baca majalah HYPE dan Utopia sahaja. A sentiasa dalam genggaman. Top skor 10 markah tertinggi sudah pasti.

“Masa ini cita-cita peguam. Macam penternak kucing bukan? Tapi bila 16 tahun jadi kurang bijak akademik, bijak berangan.

“Rupanya… lakonan bidang yang sesuai, industri seni.  Keluarga saya tak ada satu pun berdarah seni.  Adik-adik, carilah minat anda, gali kelebihan diri.

“Bukan kejar A semata-mata.  Tak semestinya tak banyak A, tak jadi manusia ya adik?

“Banyak bidang yang menuntut skil atau kemahiran,” tulisnya di Instagram.

Dalam entri yang sama, pelakon berusia 32 tahun itu juga menanam impian agar kedua-dua anaknya, Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom, 1, mempunyai profesion yang berkemahiran tinggi, tidak tipikal seperti kebanyakan ibu bapa yang mahukan anak-anak menceburi bidang profesional seperti doktor, peguam atau akauntan.

“Saya harap semoga Som (Budi Kalsom) jadi cef atau pereka fesyen dan Yem (Fahad Ibrahim) pula jadi pelukis komik atau ahli muzik mungkin,” tulisnya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto: Instagram Nad Zainal

Published by
Juliana Johar