Hiburan

“Tak Semua Orang Boleh…,” – Pertama Kali Berlakon Terus Dapat Filem Indonesia, Hasif Upin Tak Kisah Terima Watak Kecil

Share

Selepas merakamkan lagu bersama diva pop Ziana Zain, rezeki sekali lagi memihak penyanyi baharu Hasif Upin apabila dia dipilih untuk berlakon buat pertama kalinya didalam filem Indonesia, Paku Tanah Jawa.

Meskipun ada yang mengatakan wataknya hanyalah kecil dan tidak memberikan impak, namun, Hasif tetap menganggap ia peluang terbesar apatah lagi bila dapat bergandingan dengan pelakon terkenal Indonesia, Masayu Anastasia.

“Saya seorang yang sentiasa bersyukur dengan apa yang saya dapat. Saya tahu rezeki itu daripada Allah. Bila dapat menyanyi dengan Ziana Zain, ia merupakan pencapaian terbesar saya.

“Kemudian, dapat pula berlakon dengan Masayu Anastasia. Saya tonton dia berlakon senetron ABG (Akibat Banyak Gaul) sejak saya kecil.

“Bila saya berpeluang berlakon dengan orang yang saya ikuti sejak kecil. Perasaannya memang teruja.

“Kalau orang kata watak saya biasa-biasa sahaja, saya terima. Namun, peluang itu tak semua orang boleh dapat,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Waktu itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Paku Tanah Jawa, baru-baru ini.

Pada masa sama, Hasif akui senang bekerjasama dengan produksi Indonesia meskipun ini merupakan pengalaman pertamanya menceburi dunia lakonan.

“Alhamdulillah, pengarah Mas Bambang sangat baik. Dalam baik-baik dia pun, saya tetap kena menghafal dialog.

“Bila nak menghafal itu, ia sedikit memakan masa. Ada kalanya saya rasa anxiety. Namun, saya tetap cabar diri untuk berikan yang terbaik,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Hasif turut mendedahkan dirinya berdepan detik menakutkan apabila bandar Jogja dilanda gempa bumi ketika menjalani penggambaran.

“Saya tak dapat fokus nak menghafal skrip sebab berlakunya gempa bumi di ketika penggambaran di Jogja, Indonesia. Ketika itu, semua penduduk menjerit ‘Allahuakbar’.

“Saya pun menahan air mata dan tangan pun menggigil. Ini pertama kali saya merasai gempa bumi. Jadi, bila penggambaran, saya terlalu risau jika berlaku gempa susulan.

“Ketika gempa, rasa seperti ada orang goyangkan kita. Saya pula tinggal di chalet kampung. Keadaan tak kukuh.

“Saya ada cakap dalam hati, kalau mati do Indonesia, saya reda sahaja,” akhirinya.

Terdahulu, filem Paku Tanah Jawa ini merupakan hasil kerjasama dua negara diantara penerbit Malaysia, Armani Entertainment dan pengarah Indonesia Bambang Drias.

Filem ini juga telah berjaya meraih lebih 430,000 penonton atau sebanyak RM6.45 juta kutipan box office di Indonesia.

Selain Hasif Upin, naskhah ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Masayu Anastasia, Gisellma Firmansyah, Wafda Saifan Lubis dan MK K-Clique.

Paku Tanah Jaya Bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 27 Jun.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf