“Tak Semua Perempuan Berkahwin Sebab Duit,” – Sepakat Cari Rezeki, Eriyca Baiduri Balas Komen

Share

Usahawan, Eriyca Baiduri yang sinonim disapa sebagai Madammu tampil menjawab komen netizen menerusi platform TikTok baru-baru ini yang tular.

Menerusi komen berkenaan, seorang netizen meninggalkan komen; ‘cuba laki (suami) pakai kereta Wira buruk dah lama bini (isteri) lari.’

Eriyca, 33, atau mesra disapa Madammu berkata, ketika berkahwin pada tahun 2015, suaminya, Azri, 44, hanya lelaki biasa dan bukan seorang yang kaya raya sebagaimana ditebak ramai pihak.

“Sebenarnya saya taklah marah dan geram. Saya faham, tak semua orang kenal kita, tak semua orang tahu kisah kita dan tak semua orang tahu cerita kita. Cuma, apa yang saya boleh katakan, saya dengan suami ini kami berkahwin daripada tak ada apa apa dan bermula daripada sederhana.

“Saya berkahwin dengan suami bukan sebab duit semata-mata. Tak semua perempuan berkahwin sebab duit. Saya berkahwin dengan suami sebab dia baik. Dia akan membahagiakan dan menjaga saya dengan baik.

“Jadi, itu yang sebenarnya saya nak dalam rumah tangga. Masa saya kahwin dengan dia, walaupun waktu itu dia biasa-biasa tapi saya percaya dengan budi bicara, karakter dia yang sangat melindungi, saya tahu dia boleh jaga saya.

“Saya tahu rezeki boleh dicari kemudian dan boleh cari bersama-sama. Alhamdulillah, hari ini daripada kami biasa-biasa kami dapat mencapai apa yang kami nak. Sebab itu dalam rumah tangga ini niatnya kena betul. Jadi, saya okay saja dengan komen itu,” katanya.

Tambah Eriyca, mereka bermula dari tinggal di rumah sewa hingga dapat membeli rumah sendiri selain berjaya membina empayar bisnes jenama Noir Health & Beauty (Noir).


“Kehidupan dulu tidaklah semewah hari ini. Dari kami duduk rumah sewa kami beli rumah. Perlahan-lahan perniagaan makin berkembang dan maju. Jadi jika ada yang kata saya kahwin sebab duit itu salah. Sata faham, netizen ni mereka suka buat andaian dan mereka suka bercakap apa yang mereka fikir.

“Kalau nak tahu, jenama Noir adalah saya punya sendiri. Begitu juga suami yang mempunyai perniagaan sendiri, tapi lebih banyak bantu saya di Noir,” katanya lagi.

Eriyca membalas pertanyaan pengguna itu menerusi hantaran video yang dimuat naik di TikTok yang memaparkan dirinya bersama suami di dalam kereta.

Hantaran video berkenaan sehingga kini mencecah lebih 1.1 juta tontonan, bersama ribuan komen yang diberikan netizen.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH