Penyanyi Tom pitam tiba-tiba ketika berada di kedai makan sejurus tamat konsert keempat Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), pagi Isnin.
Tom Ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan bersyukur ramai yang membantunya.
“Sebenarnya Tom sudah mula rasa tidak sedap badan ketika berada di sidang media selepas konsert berakhir tetapi tidak sangka sehingga pitam.
“Ketika di sidang media, Tom memberitahu pengurus Tom iaitu Abang Aalan yang Tom rasa tidak sihat dan dia cadangkan kami ke restoran untuk makan.
“Sedang elok duduk di kedai mamak, tiba-tiba pandangan Tom gelap, tahu-tahu sepupu Tom dan rakan-rakan sedang angkat dan membaringkan Tom di atas kerusi.
“Mereka kata Tom tiba-tiba rebah ke bawah meja tapi Tom tak ingat langsung. Syukurlah tak apa-apa. Ramai yang membantu ketika itu, ada yang memberi minyak angin, mengurut Tom dan sebagainya,” katanya.
Tom turut memberitahu, rakan peserta Bob yang kebetulan turut berada di lokasi sama ada membantunya juga.
“Malah Bob yang turut ada di restoran yang sama turut memberikan saya gula-gula kerana katanya mungkin gula saya rendah ketika itu.
“Tak tahu apa punca saya pitam, mungkin sebab terlalu penat. Mereka mencadangkan untuk ke hospital tapi Tom tak mahu kerana rasa sudah okey selepas muntah dan sekarang hanya berehat di rumah.
“Mungkin juga badan masuk angin sahaja, maklumlah lewat makan,” katanya lagi.
Artikel Berkaitan;
“Bila Orang Tanya Mengenai Hidup Saya, Tak Banyak Cerita Menarik Yang Boleh Dikongsi Cuma…,” – Tom
Terdahulu dalam saingan minggu lalu, Tom yang menyampaikan lagu Hanya Satu yang dipopularkan oleh Datuk Nora Ariffin berada antara tiga kedudukan terbawah.
Tambahnya, dia amat berterima kasih kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan orang ramai yang berada di restoran tersebut yang bersungguh-sungguh membantunya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini