Umum mengenali penyanyi rap terkenal, Altimet mengumumkan persaraanya dalam bidang nyanyian baru-baru ini.
Bagaimanapun, Altimet sempat merakam lagu bersama penyanyi, Aryanti berjudul Nak Apa Lagi?
Aryanti ditemui selepas majlis pelancaran singlenya itu di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur petang semalam.
“Secara jujurnya, saya tidak tahu dia (Altimet) nak bersara dari bidang nyanyian. Semasa saya dalam proses buat lagu Nak Apa Lagi bersama dia, PA dia ada cakap ini adalah nyanyian terakhir Altimet.
“Secara tidak langsung, saya berasa terkejut kerana Altimet mempunyai peminat yang kukuh dan lagu-lagu dia pun semua trending,” kata Aryanti kepada MH.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 36 tahun itu juga meluahkan rasa terujanya apabila dia merupakan artis terakhir berduet dengan Altimet.
“Saya rasa gembira dan bangga juga sebab penutup lagu terakhir Altimet adalah ketika dia berduet dengan saya.
“Idea untuk cipta lagu ini adalah ketika bulan Ramadan tahun lepas dan kami mulai record selepas raya,” jelas Aryanti lagi.
Ditanya, perasaan ketika berduet dengan Altimet, Aryanti atau nama penuhnya Lisa Aryanti Zulkifli menjawab tenang dan bersahaja.
“Altimet senang kerja dengan dia. Dia tepati masa, dia setuju dengan apa yang diperkatakan oleh produksi dan keserasian antara kami senang dibentuk.
“Alhamdulillah, muzik video Nak Apa Lagi berjalan lancar dan semuanya baik-baik sahaja,” kongsi ibu kepada dua orang anak itu.
Foto : Instagram Aryanti
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI