Berada lebih dua dekad dalam industri seni tempatan, penyanyi Siti Sarah menyifatkan dirinya cukup mementingkan etika dalam setiap perkara yang saya lakukan.
Ini termasuk terhadap setiap posting yang ingin dimuat naik di media sosial kerana menyedari apa yang dikongsi akan menjadi perhatian ramai.
“Namun susulan insiden yang tercetus, ia sedikit sebanyak menjejaskan reputasi saya sebagai selebriti dan usahawan.
“Di sini, saya ingin jelaskan bahawa saya Siti Sarah Raissuddin tidak pernah terlintas untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak, malah menghormati seluruh masyarakat di Malaysia.
“Bagaimanapun sebagai manusia kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar.
Sarah pada masa sama turut menyambut baik permohonan maaf dari pihak Ridzo Okumura yang dipercayai menjadi antara pihak terawal yang memuat naik video tersebut hingga mencetuskan viral.
“Justeru saya menerima permohonan maaf yang dibuat Pengarah Syarikat House of Ridz Okumura Sdn Bhd, Ridzo Okumura yang memuat naik video perbualan kami tanpa mendapat keizinan saya terlebih dahulu sehingga menjadi tular.
“Atas insiden yang berlaku ini juga saya ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia terutamanya kepada masyarakat Orang Asli.
“Saya amat berharap permohonan maaf saya ini diterima kerana ia bukanlah sesuatu yang disengajakan.
“Saya mohon isu ini tidak akan diperbesarkan lagi dan kenyataan ini akan menjadi yang pertama dan terakhir dari saya,” jelasnya.
Sehubungan itu, Sarah tidak akan lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai isu terbabit dan cadangan untuk mengadakan sidang media esok juga dibatalkan.
Terdahulu, penyanyi lagu Manis itu menjadi mangsa kecaman di media sosial apabila tular sebuah video mendakwa dirinya ada menyentuh soal fizikal masyarakat Orang Asli.
Video itu menjadi tumpuan selepas ia dimuat naik seorang individu dalam satu hantaran di Twitter.