“Takdelah… Itu Khabar Angin,” – Peminat Syak Fasha Hamil Lagi, Aidil Aziz Jelaskan Belum Ada Rezeki

Share

Pelakon Aidil Aziz menepis khabar angin bahawa isterinya, aktres Fasha Sandha kini sedang hamil cahaya mata kedua mereka, sebagaimana yang didakwa segelintir pihak

Aidil berkata, meski tidak menolak rezeki zuriat, namun dia dan isteri kini sedang sibuk dengan komitmen kerja masing-masing.

“Takdelah (dakwaan Fasha hamil). Itu sekadar khabar angin semata-mata. Fasha belum mengandung lagi. InsyaAllah, pada masa akan datang.

“Kalau ada rezeki, mungkin ketika kami sudah kurang sibuk nanti. Sebab bila  sudah melaksanakan komitmen kerja, InsyaAllah kami akan ikhtiar untuk menambah anak mungkin seorang lagi,” katanya kepada MH.

Pelakon drama Imamku Okey ini pada masa sama menyifatkan spekulasi yang dibuat itu secara tidak langsung memberi isyarat bahawa isterinya itu masih menjadi perhatian peminat.

“Apabila ada yang membuat andaian Fasha hamil, bagi saya itu memberi maksud peminat sayang dengan dia. Bagi saya tiada masalah pun, malah benda yang baik sekiranya kami diizinkan tambah anak lagi.

“Saya pun suka apabila ada yang mendoakan baik-baik buat isteri. Sekiranya hamil nanti, pasti kita akan berkongsi kepada umum mengenai berita itu,” katanya lagi.

Aidil mengulas mengenai perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pada Selasa.

Imbas kembali, Aidil dan Fasha mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan Aisha Amaira, 2 tahun.

Sebelum itu, Fasha pernah mendirikan rumah tangga dengan Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012, namun berpisah pada 20 Januari 2016.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 9, dan Putri Raysha Jemyma, 8.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH