Hanya kerana mengecap kejayaan pada usia muda dan menjalani kehidupan yang diidamkan ramai orang, pelakon jelita, Scha Elinnea menafikan dakwaan kononnya dia ‘dibela’ oleh seseorang yang berstatus VIP.
Menurut Scha atau nama sebenarnya, Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen, segala kejayaan yang diraihkan ketika ini adalah hasil kerja keras dan titik peluh sendiri sepanjang bergelar anak seni.
“Tiada apa yang perlu saya ulas. Sudah lama dakwaan ini timbul tetapi ia tidak benar. Siapa yang kenal saya, mereka tahu saya bagaimana.
“Alhamdulillah, sehingga kini, saya tidak pernah terlibat dengan perkara seperti itu. Saya hanya sibuk dengan kerja sahaja. Tak pernah teringin nak dibela pun.
“Apa yang saya ada ketika ini adalah hasil kerja keras dan sokongan tanpa henti daripada keluarga, alhamdulilah,” katanya kepada MH.
Scha berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Gempak Most Wanted Awards (GMWA) 2024 di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Rabu.
Tegas pelakon drama Nuh & Nayla itu lagi, dia juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya tuduhan seperti ini masih berterusan.
Tambah Scha lagi, orang luar boleh melihat sendiri rutin hariannya yang sibuk namun, ada kalanya dia juga memerlukan waktu rehat untuk menenangkan diri.
“Setakat ini, tiada orang yang mempertikaikan kerja keras saya. Mungkin mereka pun nampak saya sibuk bekerja. Kalau cuti sekalipun, saya akan sibuk dengan kempen-kempen promosi atau hadiri majlis.
“Kalau saya mengambil cuti panjang, itu merupakan waktu saya berehat setelah sekian lama bekerja. Sudah tentu saya juga mahu pergi bercuti untuk tenangkan diri,” kongsinya lagi.
Ditanya mengenai reaksi keluarganya selepas timbul dakwaan seperti ini, Scha bersyukur kerana dikurniakan ahli keluarga yang sangat memahami.
“Mereka memang percayakan saya seratus peratus dan tahu yang saya tidak akan buat perkara yang bukan-bukan.
“Malah, mereka juga memang kerap bertanya tentang aktiviti saya. Sebagai anak, takkanlah saya nak bagi duit daripada sumber haram kepada ibu bapa sendiri,” katanya.
Tambah Scha lagi, dia juga tidak mampu berbuat apa-apa jika ada pihak yang kurang senang dengan kehidupannya saat ini.
“Tidak kisahlah bagaimana rupa paras kita, kalau orang tak suka kita, kita tak boleh nak buat apa. Jadi, buat sahaja apa yang kita suka dan gembirakan diri sendiri.
“Jangan terlampau fikir apa yang orang nak cakap fasal kita. Nanti kita tak mampu nak menikmati hidup sepuasnya,” akhirinya.
Terdahulu, pada GMWA2024 ini, Scha tercalon untuk dua kategori iaitu Selebriti Digital Tergempak dan Drama Tergempak.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.