Usahawan dan pelawak, Shuib tampil mengulas berhubung isu seorang selebriti media sosial yang menziarahi pusara Allahyarham isterinya, Siti Sarah dan menjadikan ia sebagai kandungan di laman YouTube.
Menurut Shuib, semua pihak seharusnya ada rasa peka terhadap perkara melibatkan soal sensitiviti orang lain.
“Saya tak tahu nak komen apa mengenai isu itu. Apa yang saya boleh katakan, kena ada rasa peka yang tinggi terhadap sensitiviti orang lain.
“Takut nanti hilang sensitiviti, rasa suka nak buka aib… Takut bahagian kita pula satu hari nanti macam mana,” katanya.
Meski marah namun Shuib menambah adalah lebih baik menyebarkan rasa kasih sayang, demi kebaikan semua orang.
“Marah memang marah, tapi itu sahaja yang saya boleh cakap. Kena ada rasa semsitif. Nasib kita di masa akan datang belum lagi diketahui.
“Lebih baik kita kongsi perkara yang boleh mendatangkan kasih sayang, itu lebih baik untuk semua orang,” katanya lagi.
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata demikian ketika ditanya media sejurus selesai majlis tahlil dan bacaan Yassin di kediamannya yang dilakukan secara virtual, Selasa malam.
Sejak kelmarin, kecoh di laman sosial mengenai individu yang terkenal di laman sosial Instagram dan YouTube yang merakamkan perjalanannya menziarahi puasa arwah Siti Sarah.
Dia difahamkan kemudiannya memuat naik video terbabit sebagai kandungan di saluran YouTube miliknya dan ia mula mendatangkan rasa tidak puas hati di kalangan warganet.
Bagaimanapun, individu terbabit sudah pun memohon maaf sekaligus memadam kandungan berkenaan.