Tanah Runtuh, Siti Nurhaliza Ucap Takziah; “Doakan Juga Keselamatan Semua Yang Bertugas Dalam Operasi Ini.”

Share

Insiden kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor pada awal pagi Jumaat dilaporkan telah mengorbankan 13 nyawa selain puluhan lagi tercedera.

Kejadian yang menggemparkan negara itu turut mendapat perhatian penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mengirimkan ucapan takziah buat semua keluarga mangsa yang terlibat.

Malah, dalam entri di laman Instagram miliknya itu juga, Siti turut mendoakan keselamatan buat petugas keselamatan yang terlibat dalam operasi misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Semoga urusan menyelamat dipermudahkan.  Salam takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dan kita terus mendoakan agar pasukan penyelamat akan menemui lebih ramai mangsa yang selamat.

“Teruskan berdoa… kita doakan juga keselamatan kepada semua yang sedang bertugas dalam operasi ini,” tulis Siti menerusi ruangan kapsyen.

Terdahulu, seramai 100 orang dikhuatiri menjadi mangsa kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father Organic Farm.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.24 pagi.

Sepasukan 20 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Rawang dan Genting Highlands dikejarkan ke lokasi kejadian.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Kredit foto: Utusan

Published by
Juliana Johar