Tanam Pokok Ganja Di Rumah, Polis Tahan Penyanyi Nasyid Berusia 47 Tahun

Share

Seorang penyanyi yang juga merupakan bekas anggota kumpulan nasyid dilaporkan telah ditahan oleh pihak polis selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja di kediamannya pada Khamis.

Artis berusia 47 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Memetik laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, memaklumkan suspek ditahan di sebuah kondominium di Kota Damansara, Selangor.

Turut ditemui di kondominium tersebut adalah pokok ganja yang telah ditanam di dalam beberapa buah pasu.

“Dalam serbuan itu, sepasukan anggota polis menemui dan merampas pokok ganja yang ditanam dan suspek juga didapati memiliki dadah jenis ganja.

“Suspek direman pagi ini di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39 B, Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya seperti yang dipetik.

Mohamad Fakhrudin turut menambah, siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengetahui motif sebenar artis tersebut memiliki dadah.

Video memaparkan hasil rampasan pokok ganja yang dibuat oleh pihak polis turut dikongsikan di laman Twitter, Bernama Radio.

“Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menunjukkan pokok ganja dan ‘artificial greenhouse’ yang dirampas daripada seorang selebriti di sebuah kondominium di Kota Damansara dalam sidang media di IPD Petaling Jaya hari ini,” lapor pengendali akaun tersebut.

Bagaimanapun, sehingga kini, pihak polis masih lagi belum mendedahkan identiti sebenar artis berkenaan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber: BH Online, Twitter BERNAMA Radio & Mohd Redzuan Abdul Manaf

Published by
Aizam Manaf