Berita

“Tanpa Sebarang Rasa Ragu-Ragu, Saya Masih Menyayangi Faz,” – Fattah Amin

Share

Pelakon Fattah Amin mengakui tiada wanita lain dalam hidupnya seperti didakwa di media sosial, ketika ini.

Perkara tersebut diperjelaskan susulan timbul dakwaan yang mendakwa dia bersikap curang terhadap isterinya, Nur Fazura sehingga isterinya itu memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, semalam.

Fattah berkata, dia juga terkejut apabila hanya mengetahui isterinya itu memfailkan perceraian melalui media sosial.

“Sejujurnya, saya hanya mengetahui mengenai permohonan perceraian yang difailkan terhadap saya melalui media sosial, terutamanya selepas ia ditularkan.

“Saya berasa amat terkejut dan sedih dengan perkhabaran berita ini. Malah, tanpa sebarang rasa ragu-ragu, saya masih menyayangi Faz (panggilan Fazura),” katanya petik Harian Metro.

Fattah menambah, dia berharap orang luar dapat mendoakan yang terbaik buat dirinya dan isu keretakan rumah tangganya dapat diselesaikan secara tenang.

“Walau apa pun yang terjadi, saya dengan rendah diri memohon doa yang baik-baik dan sokongan daripada kalian semua tidak kira yang pernah mengenali mahupun yang tidak mengenali kami secara peribadi.

“Moga segala urusan kami berdua dipermudahkan dan diselesaikan dengan baik serta penuh ketenangan.

“Saya juga berharap agar tiada campur tangan daripada pihak lain yang boleh mengeruhkan lagi situasi ini. Terima kasih atas segala perhatian dan doa kalian,” katanya.

Sebelum ini timbul spekulasi mendakwa Fattah curang bersama penata gaya tudung yang dikenali sebagai Syira Atiqah hangat diperkatakan netizen dalam media sosial.

Susulan itu, Instagram milik pelakon lelaki terbabit dibanjiri netizen apabila mereka ‘ambil bahagian’ sejurus berita perceraian pasangan itu dilaporkan media.

Menguatkan lagi perkara itu, pengawal peribadi aktres itu turut mendedahkan ada ‘penyondol’ yang menjadi pencetus konflik itu.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram Story, individu yang dikenali sebagai Shahaszrin itu berkongsi foto sedang makan bersama Fazura, pengurus Fazura iaitu Iman Tang, pembantu peribadi serta seorang wanita yang wajahnya ditutup menggunakan emoji haiwan.

Untuk rekod, pasangan itu sudah berkahwin selama tujuh tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
MH