Tahniah diucapkan buat penyampai radio Suria FM, Roslinda Abd Majid atau popular dengan gelaran DJ Lin telah dipilih sebagai penerima anugerah kecemerlangan bagi kategori ‘Influential Radio Announcer’ di majlis Women of Excellence Awards 2021/22 (WOEA2021/22).
Majlis meraikan para penerima itu telah diadakan pada 24 Mac 2022 lalu di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Sinonim menerusi segmen Suria Cinta, DJ Lin yang juga Pengurus Besar Suria FM ini teruja dengan anugerah yang diterima dan bersyukur di atas pengiktirafan orang luar terhadap jenama DJ LIN.
“Anugerah dan pencapaian ini sememangnya tidak ternilai harganya dan tanpa sokongan peminat DJ Lin dan Suria Cinta, tiadalah DJ Lin di sini.
“Pengiktirafan ini secara tidak langsung menyuntik semangat DJ Lin untuk melakukan yang lebih baik kepada pendengar setia yang mempercayai jenama DJ Lin dan Suria FM,” katanya.
Kredibiliti dan populariti DJ Lin selama 23 tahun di dalam industri radio di Malaysia diiktiraf menerusi beberapa anugerah besar yang dimenanginya sebelum ini.
Antaranya, DJ Lin pernah menerima trofi Anugerah Sri Angkasa (kategori Penyampai Radio Terbaik) sebanyak tiga kali, Anugerah Penyampai Radio Paling Popular Berita Harian (ABPBH) empat kali, Anugerah Kesatria Puteri (Industri Radio) Himpunan Wanita Muda Negara 2012 dan Anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai Reader’s Digest Trusted Brands ke-23.
Anugerah Penyampai Radio Berpengaruh ini merupakan anugerah ke-10 buatnya.
Terdahulu, Anugerah Women of Excellence Awards 2021/22 (WOEA2021/22) ini dianjurkan oleh sebuah majalah terkenal yang bertujuan untuk merai dan memberi pengiktirafan serta menghargai sumbangan para usahawan wanita terhadap industri, penggunaan teknologi dan pendekatan inovatif dalam menjalankan perniagaan secara mampan.
Mereka juga dilihat turut banyak membantu untuk merancakkan pembangunan ekonomi negara.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.