“Saya pernah menangis depan suami. Saya cakap padanya dulu kalau ada apa-apa hal mengenai syarikat, saya akan kongsi dengan Siti (Sarah), tapi sekarang tak ada.”
Demikian luah rasa yang dikongsikan Pengasas Loveta, Siti Fatimah Suberi, 35, selepas ditanya momen paling dirindui dalam menguruskan Loveta susulan pemergiaan rakan kongsi yang juga anak tirinya, penyanyi Siti Sarah hampir dua tahun lalu.
Siti Fatimah yang mesra disapa Makder berkata, arwah yang dipanggilnya Siti bukan sahaja ahli keluarga, tetapi sahabat yang menjadi tempat mengadu.
“Tapi sekarang ini sudah tidak ada teman untuk berkongsi. Kata suami tidak mengapa, kalau ada apa-apa yang nak dikongsi, boleh luahkan kepadanya. Suami saya ada sakit jantung. Kalau boleh saya tidak mahu stres atau bebankan dirinya terhadap apa yang saya nak kongsikan.
“Malah arwah pun pernah beritahu saya kalau boleh tak mahu kongsi apa-apa masalah dengan Raisuddin bagi mengelakkan dirinya tertekan. Bimbang kalau dia hadapi stres yang melampau, akan beri kesan kepada sakitnya tu,” katanya.
Usahawanita ini ditemui sejurus pelancaran koleksi tudung terbaharu Loveta, Assyfa Manes di di Rumah Bakti Al Kausar di Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Ditanya apa inisiatif yang dilakukan sebagai cara untuk tenangkan diri, Fatimah selesa memberi ruang masa kepada diri sendiri.
“Biasanya saya akan duduk seorang diri sambil tonton video arwah. Video klip nyanyiannya pun sudah memadai. Selebihnya saya berdoa kepada Allah SWT dan pendam,”katanya lagi.
Dalam pada itu, Assyfa Manes yang hanya memakan masa 7 saat untuk digayakan tampil dengan 8 pilihan warna menarik menerusi fabrik jenis premium soft pleated chiffon.
“Sebelum ini koleksi Assyfa pernah tampil dengan koleksi rekaan Assyfa cinta yang telah mendapat permintaan tinggi. Koleksi ini pernah pernah mencatat jualan sebanyak 50,000 helai dalam tempoh sebulan.
“Justeru kami tampilkan koleksi terbaharu bagi para pelanggan yang sentiasa menantikan rekaan terkini kami,” katanya yang turut menyasarkan jualan Assyfa Manes sebanyak 70,000 helai dijual dalam tempoh sebulan.
Memilih Rumah Anak Yatim Al Kausar sebagai lokasi perlancaran, Siti Fatimah berkata dia ingin menyambung usaha murni yang pernah dilakukan penyanyi lagu Kesetiaan itu ketika hayatnya.
“Arwah pernah berkata kepada saya permulaan yang baik pasti ada kemanisan yang Allah akan berikan. Jadi saya pun ambil peluang ini dan meraikan bersama anak-anak yatim. Dalam majlis ini juga saya adakan bacaan yaasin untuk arwah.
“Antara sebab lain saya adakan disini juga adalah kerana saya belum dikurniakan zuriat, sekurang-kurangnya anak-anak ini boleh mendoakan saya semoga perniagaan terus maju dan memiliki cahaya mata.” Katanya.
Di dalam majlis sama, program dimeriahkan dengan menyantuni penghuni perempuan menerusi sesi makeover dan tatarias.
Seramai 15 kanak-kanak dan remaja perempuan berusia antara 10 hingga 17 tahun diberi sentuhan jurusolek menggayakan koleksi persalinan serta tudung Loveta.
Siti Sarah yang meninggal dunia akibat Covid-19 meninggalkan suami yang juga penyampai radio, Shuib dan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.