“Team Production Macam Doktor ‘On-Call’,” – Dari Media Sosial Ke TV, ‘Diari Madammu’ Papar Sisi Lain Eriyca Baiduri, Kongsi Realiti IVF

Share

Selepas kisah hidupnya banyak memberikan inspirasi buat ramai orang di media sosial, kini, usahawan kosmetik, Eriyca Baiduri atau lebih mesra disapa Madammu bakal muncul menerusi sebuah program televisyen terbaru yang berjudul Diari Madammu.

Menurut Madammu, program ini bakal memaparkan sisi lain didalam kehidupan sehariannya yang jarang dikongsikan kepada umum.

Malah, Diari Madammu ini juga bakal mengetengahkan perjalanannya sepanjang menjalani proses kehamilan secara persenyawaan in vitro (IVF).

“Sebenarnya, Diari Madammu ini diterbitkan untuk memberi inspirasi kepada para wanita di luar sana. Rancangan ini mengisahkan tentang kehidupan seorang usahawan, ibu dan perjalanan saya menjalani proses IVF.

“Selama ini, saya hanya berkongsi kisah saya di media sosial. Jadi, kali ini saya memutuskan untuk mengambil satu langkah baharu untuk berkongsi di platform yang lebih luas.

“Kalau nak tahu, tak semua perkara saya kongsikan di media sosial. Jadi, apa yang saya simpan itu akan saya paparkan di televisyen lebih-lebih lagi mengenai rutin anak-anak,” katanya kepada MH.

Pengasas syarikat Noir Health & Beauty ini berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media pengenalan program Diari Madammu yang berlangsung di The Colony, Star Boulevard, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, Madammu akui terpaksa mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri di hadapan kamera.

“Nak nampak real ketika penggambaran itu tidak mudah. Kalau buat sesi siaran langsung di media sosial, saya hanya akan bawa telefon sahaja. Jadi, bila shooting dengan orang production, nak jadi real itu agak sedikit mencabar.

“Mula-mula itu agak kekok juga tapi lama-kelamaan, saya dah mula biasa. Cuma, ada kalanya saya agak penat. Memang saya ini dilahirkan bukan untuk menjadi seorang selebriti. Namun, syukur segalanya berjalan lancar,” ujarnya lagi.

Lebih menarik apabila proses penggambaran yang telah memakan masa selama enam bulan itu bakal diteruskan lagi sehingga Madammu melahirkan cahaya mata pertamanya.

“Team production memang akan sentiasa dalam mode standby. Bila keadaan saya okay, kita akan jalankan penggambaran. Kalau tak okay, kita kena berehat.

“Saat paling mencabar adalah ketika trimester pertama. Ketika itu, saya kena banyak ‘bed rest’. Di trimester kedua, keadaan saya dah kembali okay dan aktif semula.

“Namun, ketika trimester terakhir ini, saya kurang gembira dengan perubahan fizikal saya. Kita banyak rehat. Jadi, penggambaran belum selesai lagi.

“Team production juga sudah seperti ‘doktor on-call’. Kalau saya nak bersalin, mereka akan bergegas ke hospital,” kongsinya lagi.

Menerusi program Diari Madammu ini juga, usahawan kelahiran Terangganu ini mahu memberikan kesedaran seteruskan menangkis tanggapan negatif masyarakat terhadap proses IVF.

“Ramai orang di luar sana yang skeptikal dengan IVF. Bagi mereka IVF ini mengaibkan dan memalukan. Jadi, bila saya kongsikan fakta-fakta IVF di media sosial, minda mereka semakin terbuka dan mula mahu berjumpa dengan doktor.

“Saya mahu jadikan platform ini sebagai medium untuk mendidik orang ramai tentang kebaikan IVF. IVF ini bukan untuk orang yang mandul sahaja. Saya mahu beri semangat kepada mereka yang masih menantikan zuriat.

“Saya akan kongsikan secara terperinci. Apa yang doktor nasihatkan saya, itu juga yang akan saya terangkan kepada penonton,” akhirinya.

Sekadar informasi, Diari Madammu bakal mula bersiaran pada 3 Jun 2023, jam 10 malam di saluran Astro Ria.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf