Telahan Mendakwa Ibu Bapa ‘Menculik’ Atau Memaksa Tidak Tepat, Pelakon Nynaa Harizal Harap Suami Dapat Lepaskannya Dengan Cara Baik

Share

Pelakon, Nynaa Harizal hari ini akhirnya tampil bersuara susulan isu hangat melibatkan rumah tangga serta kontroversi dakwaan ‘diculik’ bapa sendiri baru-baru ini.

Menurut Nynaa, dia memilih untuk berdiam selama ini demi menjaga hati dan perasaan semua pihak, selain tidak mahu memburukkan keadaan.

Nynaa yang berada dalam jagaan kedua ibu bapa dan ahli keluarganya di Johor Bahru sejak 2 November lalu menerusi satu kenyataan berkata, dakwaan tersebut tidak tepat kerana tiada paksaan atau istilah menculik oleh kedua ibu dan bapanya.

“Sejak hari Selasa, 2hb November 2021 yang lalu terdapat pelbagai berita yang telah disiarkan dan tular berkaitan rumah tanga dan diri saya. Saya meneliti dan memerhati akan setiap kenyataan yang dibuat oleh beberapa pihak.

“Selama ini, saya memilih untuk tidak memberikan apa-apa reaksi terhadap semua berita demi menjaga hati dan perasaan semua pihak yang terlibat dan tidak mahu tergesa-gesa membuat kenyataan yang akhirnya memburukkan lagi keadaan.

“Untuk mengatakan bahawa kedua ibu bapa saya telah “menculik” saya atau memaksa saya adalah suatu telahan yang tidak tepat,” katanya.

Dalam pada itu Nynaa berkata dia mengambil keputusan untuk memfailkan Permohonan Penceraian Dengan Talaq atau Dengan Perintah pada 10 November lalu, selepas berfikir secara mendalam atas segala faktor yang berkaitan.

“Setelah berfikir dengan penuh mendalam akan segala fakta dan faktor yang melatari keadaan ini, saya melalui Peguam Syarie Dato’ Ikbal Salam dari Tetuan Ikbal Salam & Associates telah pada 10hb November 2021 memfailkan suatu Permohonan Perceraian Dengan Talaq atau Dengan Perintah atau lazim dirujuk sebagai Perceraian Cara Baik dibawah Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) Tahun 2003 di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru.

“Sesalinan saman tersebut telah diserahkan kepada suami pada keesokan harinya iaitu pada 11hb November 2021, jam 3.16 petang.

“Hari ini, Khamis 18hb November 2021 telah ditetapkan untuk sebutan bagi permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Sariah Johor Bahru. Suami tidak hadir dan hanya diwakili oleh peguamnya sahaja,” katanya.

Pada masa sama, Nynaa juga berharap dan berdoa agar suami akan dapat melepaskan dirinya dari ikatan perkahwinan mereka dengan cara baik tanpa perlu meneruskan proses perundangan lain.

“Sebagaimana sifat lazim permohonan ini iaitu Cerai Cara Baik, ianya dimulakan dengan kaedah ini sebagai penzahiran harapan dan doa saya agar suami akan dapat melepaskan saya dari ikatan perkahwinan ini dengan baik tanpa perlu saya meneruskan dengan proses perundangan yang lain.

“Sementara proses Mahkamah Syariah berjalan dan selagi mana ianya tidak menjejaskan prosiding, saya membuka ruang untuk perbincangan dengan suami dan ini telah dinyatakan kepada suami melalui perbualan telefon pada Jumaat, 12hb November 2021,” katanya.

Nynaa juga enggan mengulas lanjut punca dan penyebab yang membawa kepada keputusannya itu kerana ia bersifat terlalu peribadi.

“Oleh kerana isu yang berada di hadapan saya adalah bersifat amat peribadi dan kini telah berada di dalam Mahkamah, saya membuat keputusan untuk buat masa ini tidak memberikan ulasan lanjut berkaitan punca dan penyebab yang membawa kepada keadaan ini.

“Cukuplah sekadar itu kenyataan saya dan saya mengharapkan doa dari kalian agar Allah S.W.T terus memberikan kekuatan kepada saya.

“Akhirnya, sekali lagi saya amat menghargai segala pandangan dan panduan yang diberikan oleh masyarakat termasuklah para Asatizah atas segala nasihat yang diberikan kepada saya dan InshAllah ianya akan menjadi panduan kepada saya dalam menghadapi kehidupan ini,” katanya lagi. 

Published by
MH