Menampilkan kelainan dan perincian yang lebih ditil, pengarah Ejen Ali The Movie, Usamah Zaid Yasin menjelaskan filem animasi popular ini telah memulakan pembikinan sejak awal 2018 dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sebelum ditayangkan di pawagam.
Menyedari tahun ini filem animasi tempatan mendominasi carta industri perfileman negara, Ejen Ali disedari berada pada kelas tersendiri dan punya kelompok peminat tegar.
“Semua akan membandingkan dan kami tidak mampu mengelak. Namun filem animasi yang ditayangkan adalah berbeza.
“Ejen Ali punya peminat daripada segenap peringkat umur dan sudah pasti pasaran kami lebih meluas daripada kanak-kanak sehingga ke orang dewasa.
“Penceritaan yang friendly untuk kanak-kanak dan konflik penceritaan yang mudah difahami setiap peringkat umur,” jelasnya.
Usamah ketika ditemui media pada Sidang Media Ejen Ali The Movie di GSC Mid Valley, pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation ini turut mendedahkan kos pembikinan filem ini berjumlah RM6.5 juta termasuk promosi.
“Untuk filem ini, lebih 90 pekerja animasi dengan lapan jabatan diwujudkan demi kualiti yang lebih baik. Untuk layar besar, kami harus perincikan segala-galanya demi standard yang lebih bermutu.
“Untuk target peribadi, saya sasarkan jumlah kutipan sebanyak RM20 juta,” katanya lagi.
Ejen Ali The Movie mengisahkan tentang Ali, budak berusia 12 tahun yang telah direkrut menjadi perisik sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan untuk melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.
Filem ini bakal ditayangkan mulai 28 November depan.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI