Pendakwah selebriti, Imam Muda Asyraf semalam ada berkongsi tips mendidik anak-anak agar meminati kisah para nabi.
Ulasnya menerusi laman Instagram, faham atau tidak adalah perkara kedua.
Apa yang penting adalah mendidik kebiasaan pada diri anak-anak.
“Seperti biasa. Faham atau tidak perkara kedua. Yang penting kelibat duduk sambil mengambil berkat hadith itu menjadi rutin yang dibiasakan pada mata anak-anak.
“Telinganya tidak memahami. Namun matanya belajar memerhati. Walau bermain handphone sekalipun, ianya satu kejayaan bagi membawa AbduRahman yang seaktif Ultraman Batman untuk duduk di depan.
“Bagi Aisy pula, dia sangat meminati cerita, hadith dan sebagainya. Manakan tidak, semangat beliau apabila hajat untuk menunaikan umrah di Mekah pada cuti sekolah Mac ini tak sabar dinanti. Doakan kami bersama ke sana,” kongsi Ashraf.
Katanya lagi, walaupun sibuk memberi ceramah menerusi kuliah setiap hari, namun apabila ada kelapangan, waktu berharga ini harus digunakan sebaik mungkin untuk anak-anak.
“Jarang sempat membaca bersama mereka. Selalu ummi yang mengambil peranan. Tapi kali ini Aisyah pun teruja duduk bersama Abah.
“Mungkin agaknya Abah mimpi apa malam ini tiada kuliah. Apapun selamat malam anakku. Tiada apa yang mustahil walau sebaris hadith.
“Sedangkan al-Qa’nabi mampu berubah watak dari peminum Nabiz (memabukkan) kepada perawi paling tsiqah dalam al-Muwatto’ hanya kerana sepotong hadith dari Imamnya Syu’bah.
“Semoga rumah lebih bercahaya,” katanya berharap.
Netizen yang teruja dengan cara didikan Imam Muda ini turut sama berharap dapat menerapkan perkara yang sama untuk keluarga mereka.
Foto – Instagram Imam Muda Asyraf