Berita

Tempah Servis Gunting Rambut Atas Talian, Aplikasi Mudah Untuk Bro Yang Nak Kekal Handsome Macam Selebriti!

Share

Aplikasi inovatif myBarber kini diperkenalkan, sekaligus menjadi platform yang memudahkan tempahan perkhidmatan penjagaan rambut kepada pelanggan secara dalam talian.

myBarber merapatkan jurang antara pelanggan dan tukang gunting rambut terbaik, menawarkan kemudahan, kecekapan, dan kualiti yang dapat diakses bila-bila masa.

Lelaki mana yang tak mahu tampak kemas, tampak segak dengan gaya rambut bak selebriti atau bintang sukan pilihan.

Pengguna boleh menempah temu janji untuk potongan rambut dan keperluan penjagaan lain dengan mudah, menjimatkan masa dan tenaga.

Ia adalah usaha baharu dikuasakan oleh jenama lokal yang tidak asing lagi di Malaysia, TODAK.

Pengasas myBarber, Muhammad Saiful Amirul Nasharuddin berkata, visi perniagaan adalah merevolusikan proses tempahan perkhidmatan grooming tradisional selain membuat pembayaran tanpa tunai dengan mudah melalui satu aplikasi.

“Kami berhasrat menjadi destinasi utama untuk semua keperluan penjagaan rambut, mencipta pengalaman lancar dan mudah bagi pelanggan serta tukang gunting,” katanya.

Majlis pelancaran myBarber telah dilakukan di SneakerLAH, Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), baru-baru ini.

Hadir sama pada sesi pelancaran ialah Ketua Pegawai Eksekutif myBarber, Ahmad Hazman Hashri dan pengasas TODAK, Azlan Zainal.

Mengenai ciri-ciri aplikasi myBarber, Muhammad Saiful Amirul berkata, pelanggan boleh mendapat kemudahan tempahan perkhidmatan penjagaan rambut dengan cepat di barbershop atau rumah.

“Pengguna boleh mencari tukang gunting mahir berdekatan dengan melihat portfolio dan memilih berdasarkan ulasan orang ramai.

“Pembayaran juga lancar kerana transaksi tanpa tunai terus dalam aplikasi,” katanya yang terbabit dalam bidang gunting rambut sejak lima tahun lalu.

Pada masa sama, platform ini juga memberi sokongan kepada tukang gunting sambilan (bebas) dengan menyediakan perkhidmatan panggilan ke rumah dan membantu meluaskan jangkauan melalui kehadiran dalam talian serta kempen pemasaran, menarik pelanggan baharu dan mengembangkan perniagaan.

Maklumat lanjut mengenai aplikasi myBarber boleh didapati menerusi pautan media sosial rasminya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
MH