“Tempat Tinggi Tu Maksudnya Legend,” – Nafi Sindir Mamat Exists, Nabil Minta Netizen Bersangka Baik

Share

Pengacara terkenal, Nabil Ahmad menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dirinya bertindak biadap kerana mempersendakan penyanyi, Mamat Exists ketika mengacarakan program All Star Gegar Vaganza baru-baru ini.

Memetik laporan video yang dikonsikan di Instagram Astro Gempak, Nabil menjelaskan perkataan ‘ditempat tinggi’ itu tiada kaitan dengan hal-hal negatif sebaliknya ia merupakan satu pujian buat Mamat yang sudah lama menempa nama dipersada industri seni tanah air.

“Ditempat tinggi itu maksudnya legend. Abang Mamat sudah berada di satu tahap yang lebih tinggi. Lepas menyertai GV1 dahulu, namanya kembali meningkat naik dan orang makin ramai yang sukakan dia.

“Baru-baru ini pun saya dan Mamat ada berkongsi pentas di Istana Budaya. Semasa saya berada di sana, saya memang melihat Mamat ini sebagai seorang penyanyi lagenda.

“Kita pun membesar dengan nyanyian beliau seperti lagu Untukmu Ibu dan Rahsia Pohon Cemara. Bila melihat sendiri dia menyanyikan semula lagu-lagu tersebut di depan mata, saya meletakkan dia di satu tahap yang tinggi,” katanya seperti yang dipetik.

Dalam pada itu, berharap agar netizen tidak membuat andaian sendiri berhubung kenyataannya itu.

“Buat mereka yang salah tafsir ni, hati mereka kena husnuzon la. Kita kena bersangka baik.

“Namun, saya okay terima apa sahaja pendapat yang diberikan oleh orang ramai. Ada yang kata saya tak patut cakap itu dan ini, saya okay sahaja.

“Nak cakap apapun, cakap jelah.
Janji saya tahu apa yang saya buat,” katanya lagi.

Terdahulu, Nabil dikecam hebat netizen susulan tindakan tersebut. Ada yang mengatakan gurauan Nabil itu agak keterlaluan dan tidak menghiraukan perasaan orang lain.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber: Instagram Astro Gempak

Published by
Aizam Manaf