Categories: Berita

“Tengok Pun Penat, Inikan Pula Yang Terlibat,” – ‘Tukar Baju’ Dalam 11 Saat, Ramai Kagum Lihat Hasil Akhir Muzik Video Terbaru Tok Ti

Share

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ada berkongsi bersama peminat momen-momen menarik sewaktu menjalani sesi pengambaran muzik video lagu terbarunya yang berjudul Kuasa Cintamu.

Video berdurasi hampir 50 saat itu memaparkan bagaimana figura yang popular dengan panggilan Tok Ti itu menukar sepersalinan baju kuning yang dipakainya dengan dress berwarna merah dalam masa kurang 11 saat.

Menurut pengurusnya, Rozi Abdul Razak, ini kali pertama Tok Ti menjalani pengambaran muzik video secara ‘one take shot’ atau ‘one taker’.

 “Sepanjang @ctdk menjadi artis, ini pengalaman pertama beliau menjalani penggambaran video muzik secara one take shot atau one taker.

“Mungkin mudah jika tidak perlu menukar pakaian tetapi @ctdk perlu memakai 2 lapis pakaian lengkap dengan anak tudung/inner berbeza (2 lapis pakaian) kerana penukaran ini perlu dibuat dalam masa 11 saat saja,” tulisnya di Instagram.

Jelasnya lagi, sewaktu sesi pengambaran tersebut semua pihak harus bersedia bagi memastikan babak ini dapat dirakam dengan sempurna.

“Semestinya ada cabaran tetapi apa yang penting adalah pengalaman. One taker ini, kalau ada scene yang tidak ok, sama ada pelakon, pemuzik, camera shot atau @ctdk sendiri, penggambaran akan diulang dari mula.

“Adakala pelakon dah ok, camera pula tak stabil atau goyang atau termiss di mana-mana, adakala @ctdk lupa lirik, salah ‘miming’ dan sebagainya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Rozi turut mendedahkan anak kepada Tok Ti, Siti Aafiyah turut memberikan kerjasama yang baik ketika muncul dalam salah satu babak di dalam muzik video berkenaan.

“Paling best bila scene Aafiyah, ada masa dia sporting dan ikut arahan, ada masa dia tak bergerak langsung ke arah @ctdk, memang lucu. Seluruh tenaga produksi bekerja sangat berhati-hati, fokus dan alhamdulillah, video muzik ini sudah pun dilancarkan.

“Selepas @ctdk umumkan akan berehat untuk fokus kepada perancangan keluarga, kami di SNP dan Universal Music berusaha menghabiskan apa sahaja kerja mengikut jadual yang berbaki termasuklah menyiapkan video muzik ini,” akhirinya.

Video disebalik tabir itu kemudiannya tular di laman Twitter selepas ramai yang kagum dengan usaha yang dilakukan oleh Tok Ti itu.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan artis turut teruja melihat hasil akhir muzik video berkenaan.

Terdahulu, muzik video Kuasa Cintamu telah dilancarkan di laman Youtube pada Rabu dan telah pun meraih lebih 600,000 jumlah tontonan.

Sumber: Instagram CTDK & Rozi Abdul Razak

 

Published by
Aizam Manaf