Selebriti versatil, Elly Mazlein menjadi hos ketiga program realiti hiburan popular, All Star Gegar Vaganza (ASGV) di samping Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
Perkara tersebut diumumkan dalam saingan minggu pertama ASGV yang bersiaran secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, malam tadi.
Terdahulu, timbul desas-desus mengenai keberadaan Elly untuk bersama-sama mengendalikan program berkenaan selepas bintang itu berjaya menghidupkan GV9 bersama Nabil Ahmad sebelum ini.
Malah, Jihan ketika itu juga memilih untuk berehat seketika dalam dunia seni sejurus melahirkan anak keduanya.
Pada sidang media pengumuman peserta program itu sebelum ini, pihak produksi memaklumkan pengacara hanya akan diumumkan pada minggu pertama konsert.
Untuk rekod, Jihan dan Nabil merupakan pengacara bagi Gegar Vaganza bermula musim pertama sehingga musim kelapan.
Bagaimanapun, pada musim kesembilan, Elly atau lebih mesra dengan panggilan Kak Lina menggantikan Jihan memandangkan dia ketika itu baru sahaja melahirkan anak keduanya pada awal September 2022.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini