Pertandingan Miss World Malaysia 2024 telah melabuhkan tirai semalam apabila gadis berusia 24 tahun, Taanusiya Chetty dinobatkan sebagai pemenang baharu.
Dalam majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Taanusiya berjaya mengalahkan 10 lagi finalis lain sekaligus membawa pulang hadiah bernilai RM50’000.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh gadis kacukan cina-filipina, Kelly Eleanor Tseu dan gadis asal Kuala Lumpur, Hantze Liow.
Sejak pertandingan bermula seminggu lalu di mana para peserta mengikuti aktiviti yang disediakan penganjur, nama Taanusiya menjadi pilihan ramai dek keanggunan dan juga aura yang dimiliki.
Bukanlah pucuk hijau dalam dunia ratu cantik, gadis berketinggian 173cm ini pernah bergelar Miss Global Malaysia 2023 dan berjaya berada dalam kelompok top 13 di pertandingan Miss Global 2023 yang diadakan di Kemboja.
Bukan sekadar cantik, Taanusiya mementingkan pelajaran dan usaha memberi tambah nilai kepada masyarakat sekeliling.
Merupakan pelajar dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), dia menjadi tulang belakang utama dalam badan bukan kerajaan, Be The Change Malaysia yang memfokuskan kepada kempen memupuk keyakinan dan nilai diri.
Taanusiya akan mewakili Malaysia ke pertandingan Miss World pada tahun hadapan. Sekadar info, kedudukan terbaik pernah dimenangi oleh Malaysia adalah menerusi wakilan Lina Teoh Pick Lim pada edisi 1998 yang berjaya menggondol tempat ketiga.
Antara nama-nama besar dalam negara yang pernah memegang gelaran Miss World Malaysia seperti Erra Fazira, Datuk Yasmin Yusoff, Deborah Henry dan Arianna Teoh.