“Terbaik Dik. Lagu Kau Tak Pernah Tak Best,” – Ramai Puji Lagu Baru Black, Tuan Badan Ulas Juga Isu Gimik Demi Produk

Share

“Kalau mahu mencari bakat baharu, pilihlah yang benar-benar berkualiti.” Itu tegaskan penyanyi, Black Hanifah susulan satu persatu ‘insiden’ yang berlaku kepada industri seni tempatan ketika ini.

Bagi Black,35, dia memahami ada di antara mereka mahu melakukan gimik demi melariskan produk sendiri, akan tetapi dalam memilih apa yang harus dilakukan, pelbagai perkara juga perlu diambil kira terlebih dahulu.

“Kita faham, gimik memang baik untuk melariskan lagu, produk dan sebagainya. Tapi kalau boleh, janganlah merendahkan martabat kita sebagai anak seni.

“Nak buat apa sahaja kena fikir baik buruk. Yang menonton bukan sahaja kita sebagai orang tempatan tetapi juga diambil peduli orang orang luar. Kita patut malu dengan apa yang kita buat,” katanya.

Tambah Black, bakat baharu yang benar-benar berbakat sebenarnya yang harus dibantu untuk memberikan ruang serta platform bagi membolehlan mereka mengembangkan potensi, sekaligus dapat menaikkan mutu industri seni tanah air.

“Nak mencari penyanyi bukanlah satu kerja yang sukar. Kita ada banyak bakat baharu yang terdiri daripada buskers hebat yang ada tepi jalan dan sebagainya.

“Kalau betul nak mencari bakat dan konten yang baik, ambil sahaja mereka. Rasanya itu lebih baik dan akan mendapat reaksi positif daripada semua. Kalau nak cari konten, pilihlah yang bermaruah,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Black baru sahaja melancarkan lagu baharu berjudul Hanya Aku Yang Mencari, baru-baru ini.

Malah muzik video rasmi single berkenaan juga sudah boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nyawa Black TV.

Bersyukur atas maklum balas baik sejurus ia dilancarkan, Black pada masa sama terja apatah lagi ia merupakan buah tangan terbaru selepas tidak muncul dengan mana-mana lagu terkini.

“Nak jadi penyanyi kena relevan dengan industri. Saya sendiri perlu mengikut trend dan terus menjaga kualiti untuk diterima baik oleh pendengar.

“Kali ini, saya gembira kerana masih dapat bekerjasama dengan Ajai untuk lagu ini. Dia tahu mana kekurangan dan kelebihan saya dan itu memudahkan lagi proses rakaman lagu ini,” katanya.

Akui Black, dia juga perlu melakukan proses rakaman semula lagu berkenaan memandangkan ada beberapa bahagian lagu yang dilihat tidak kena dengan suaranya.

“Abang Ajai memang ambil berat dalam proses rakaman. Walaupun lagu tersebut sudah siap, apabila ada bahagian yang tak menepati halwa telinganya, kena rakam semula.

“Saya tak kisah kalau perlu melalui proses rakaman semula. Asalkan hasil akhir akan menjadi lebih baik, saya okay,”  katanya.

Hanya Aku Yang Mencari ialah terbitan Inisiatif Seni Kreatif  (ISK) dengan kerjasama Wake The Baby dan lagu ini  diedarkan oleh Indigital Music.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata peminat meninggalkan reaksi positif terhadap lagu berkenaan.  Antaranya;

“Terbaik Bang lagu ni. Menusuk kalbu la. Memang best dan syahdu.”

“Always the bestlah idola.”

“Sekali dengar terus jatuh cinta dengan lagu baru Black dengan Abang Ajai.”

“Sedapnya MasyaAllah.”

“Tahniah dik. Lagu kau tak pernah tak best, menusuk kalbu tau. Terbaiklah.”

Sehingga kini, muzik video lagu berkenaan sudah pun menerima lebih 5,000 tontonan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH