Sebentar tadi, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita pemergian pelawak terkenal era lewat 90-an, Kumin pada tengah hari tadi.
Menurut laporan Astro Awani, berita sedih tersebut disahkan sendiri oleh rakan baiknya , Yank Kassim.
Allahyarham Kumin atau nama sebenarnya Khuzaimi Ismail dilaporkan menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 49 tahun di kediamannya yang terletak di Taman Lembah Maju, Ampang.
“Isteri arwah memberitahu, dia keluar membeli barang di kedai pagi tadi. Sekembalinya ke rumah, dia mendapati Kumin terbaring di lantai dengan wajah kebiru-biruan.
“Setahu saya, arwah sudah sihat selepas dimasukkan ke hospital, akhir Julai lalu akibat sesak nafas, angin pasang dan air berlebihan dalam badan.
“Selain itu, arwah berhadapan masalah pergerakan badan yang terhad,” kata Yank.
Sebelum ini, Kumin pernah dimasukkan ke hosptal selepas mengadu mengalami kebas anggota badan dan serangan angin pasang.
Allahyarham telah dibawa ke Hospital Ampang dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah.
Terdahulu, Kumin pernah mencipta nama menerusi kumpulan duo yang diberi nama KU2 bersama seorang lagi rakan baiknya allahyarham Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd Rawi.
Kumpulan KU2 pernah menghasilkan empat album iaitu Motivasi pada 1994, Evolusi (1997), Album Baru Aku! (1999) dan The Best of KU2 (2001).