Pelakon Aedy Ashraf mengakui dia dan aktres Amelia Henderson sudah memutuskan untuk membawa haluan sendiri demi memberikan sepenuh tumpuan terhadap kerjaya.
Menurut Aedy atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, komitmen kerja yang terlalu padat membuatkan mereka agak sukar untuk membawa hubungan ini ke peringkat yang lebih serius.
“Ia merupakan keputusan yang kami buat bersama. Kami mahu fokus pada kerjaya. Saya sibuk tapi Amelia lagi sibuk. Jadi, kami pilih untuk membuat haluan sendiri.
“Namun, itu tidak bermakna kami bermasam muka. Tiada pergaduhan yang berlaku.
“Kami berjumpa secara baik dan berbincang mengenai hal ini. Masing-masing punyai tujuan yang sama. Kami meletakkan kerjaya sebagai keutamaan,” katanya kepada MH.
Pelakon drama Projek: Anchor SPM itu berkata sedemikian ketika ditemui di sesi penggambaran program Astro Jom Usha di Cheras, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Pada masa sama, Aedy mengakui situasi ini membuatkan dirinya berasa agak sedih.
“Saya percaya Amelia adalah orang yang tepat tapi masa kami kurang sesuai. Sudah tentu rasa sedih itu ada tapi segalanya berbalik kepada apa yang kita mahukan dalam hidup.
“Kami masih lagi berhubung. Sepanjang dalam perhubungan, kami tak pernah bergaduh langsung. Perselisihan faham mesti ada tapi kami sentiasa kekal profesional,” katanya lagi.
Katanya lagi, meskipun mereka sudah membuah haluan masing-masing, namum perasaannya masih sayang kepada Amelia.
“Ketika ini, kami berdua bersetuju untuk menyerahkan segalanya kepada takdir dan rezeki. Kalau ada, adalah. Kalau tiada, apa kita boleh buat.
“Kami sayang antara satu sama lain. Saya juga masih sayangkan dia. Cuma waktu sekarang belum sesuai.
“Mungkin waktu yang sesuai akan datang pada masa hadapan. Semoga haluan kami bertemu lagi,” katanya lagi.
Ditanya sama ada dia kini terbuka untuk mengenali hati budi individu lain, Aedy memaklumkan perasaannya itu kekal buat Amelia.
“Kalau saya ada masa, lebih baik saya bersama Ameli Henderson. Kalau tiada masa, macam mana saya nak berkenalan dengan orang lain,” akhirinya.
Baru-baru ini, Amelia telah membuat pengakuan bahawa hubungannya bersama Aedy sudah tidak sama lagi seperti dahulu.
Difahamkan, Aedy dan Amelia dikatakan mula rapat selepas sama-sama terlibat dalam drama berjudul Kisah Cinta Kita yang ditayangkan pada hujung tahun 2021.
Setahun kemudian, Aedy membuat kejutan melamar Amelia secara terbuka menjadi kekasihnya di sebuah acara di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun hubungan tersebut tidak bertahan lama apabila Aedy sendiri membuat hantaran seperti patah hati dalam akaun media sosialnya.
Tidak berakhir di situ, pada April tahun lalu, hubungan istimewa dia pelakon itu kembali terjalin dan Aedy berharap hubungan mereka akan lebih serius berbanding sebelum ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.