Penyanyi senior, Noorshila Amin merakamkan rasa terharu apabila penyanyi asal lagu Kerna Terpaksa, Farancissca Peter turut memberikan kata-kata semangat buatnya untuk memberikan persembahan terbaik menerusi lagu tersebut pada saingan konsert ke-10 Gegar Vaganza 6 (GV6), Ahad ini.
Dalam saingan ke separuh akhir itu, para peserta mendapat tugasan untuk menyampaikan dua buah lagu, termasuk satu lagu duet.
Noorshila yang sinonim disapa Mama bakal berduet dengan Ifa Raziah menerusi lagu Dialah Di Hati yang dipopularkan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Mama di dalam entri terkininya di Instagram ada memberikan dedikasi terhadap Francissca dan Siti Nurhaliza atas sokongan yang diberikan.
“Terharu bila mama dapat byk kata2 semangat untuk minggu Ni. Bukan daripada TokSri Siti saja kerana menyanyi Kan lagu beliau Dialah DiHati, bahkan daripada penyanyi asal Kerana Terpaksa iaitu @francissca_peter.
“Untuk #BBNU beliau merupakan salah Satu penyanyi tanah air kita yg sgt popular juga di zaman mama dulu. Byk lagu2 beliau yg menggamit jiwa. Thank you so much dear for the wishes,” tulisnya.
Terdahulu, Siti menerusi satu rakaman video pendek turut mendoakan yang terbaik buat Noorshila dan Ifa agar dapat menyampaikan lagu tersebut dengan cara tersendiri.
Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse, GV6 bersiaran secara langsung di Astro Ria dan Ria HD dari Auditorium MBSA, Shah Alam setiap Ahad jam 9.00 malam.
Foto: Instagram Noorsheila, Siti Nurhaliza & Francissca Peter