Pelakon, pelawak, pengacara dan pelukis popular, Imuda atau nama sebenarnya A. Rahim Muda hari ini telah menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Dato’.
Dalam majlis yang diadakan di Dewan Sri Pinang itu, figura berusia 65 tahun ini merupakan antara 103 penerima anugerah sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormat Negeri Pulau Pinang sempena Hari Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Beliau yang terkenal menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu memanjat rasa kesyukuran atas penganugerahan tersebut setelah lebih empat dekad berkecimpung dalam dunia seni.
“Sejujurnya, saya berasa amat bangga kerana menerima penganugerahan daripada TYT Pulau Pinang.
Selepas begitu lama berkecimpung dalam dunia hiburan sejak 40 tahun lalu, inilah masa dan saatnya untuk meraikan kejayaan bukan sahaja untuk diri saya tetapi juga buat seluruh anak seni yang lain di negeri Pulau Pinang,” ujarnya dalam satu temubual bersama Buletin Mutiara
.Dato’ Imuda memulakan kerjayanya sebagai pelukis dengan syarikat penerbitan tempatan sebelum melebarkan sayap bersama Dewan Bahasa dan Pustaka.
Karya-karyanya banyak diterbitkan untuk penerbitan naskhah terkenal seperti Gila-Gila, Berita Minggu dan Geli Hati.
Sepanjang kerjayanya dalam dunia seni, selain terlibat dalam siri komedi, beliau pernah membintangi puluhan filem-filem terkenal antaranya Mekanik, Kembara Seniman Jalanan, Hati Bukan Kristal dan Mendam Berahi.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan