“Terima Kasih Banyak… Tuhan Sahaja Tahu Perasaan Kami Sekeluarga,” – Jelaskan Sebab Bawa Bapa Ke Hospital Swasta, Amylea Azizan Hargai Jasa Penderma

Share

Penyanyi, Amylea Azizan mengakui terharu dengan sumbangan yang diberikan orang ramai bagi menampung perbelanjaan hospital bapanya yang kini dilaporkan sedang mengalami masalah jantung.

Memetik laporan Berita Harian, Amylea memaklumkan dia sekeluarga terhutang budi dengan keperihatinan semua kerana wang dikumpulkan itu kini telah pun cukup untuk membiayai kos deposit rawatan bapanya.

“Istilah syukur tidak cukup untuk menyatakan penghargaan kami sekeluarga kepada semua pihak yang membantu. Dengan sokongan orang ramai, ayah sudah dimasukkan ke IJN sejak Jumaat lalu.

“Terima kasih banyak-banyak… Tuhan sahaja tahu perasaan kami sekeluarga. Hanya Tuhan mampu membalas jasa peminat, kawan-kawan dan orang ramai yang membantu.

“Saya kemudian berkongsi di IG. Daripada situ, kami dapat kumpul wang yang cukup sebagai deposit untuk membolehkan ayah di rawat di IJN,” katanya seperti yang dipetik.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Kendati ini turut menjelaskan dia sebenarnya telah terlebih dahulu menghantar bapanya itu ke hospital kerajaan, namun selepas 13 jam, bapanya itu dikatakan masih lagi menunggu di atas kerusi roda.

Katanya lagi, dia terpaksa mencari alternatif lain dengan membawa bapanya itu ke Institut Jantung Negara (IJN) sebelum keadaannya bertambah teruk.

“Tindakan diambil pada waktu kecemasan… Kami bukan sengaja mahu hantar ayah ke IJN tetapi hospital kerajaan sibuk mengendalikan kes COVID-19.

“Ayah demam dua hari akibat jangkitan kuman dan perlu dimasukkan ubat melalui rawatan di wad. Sebaik membawa ayah ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), hampir 13 jam ayah duduk di kerusi roda menunggu untuk dimasukkan ke wad.

“Ayah terlalu lemah untuk bangun dan menguruskan diri. Sudahnya, kami terpaksa bawa ayah pulang dan datang lagi keesokannya. Namun, masih tiada katil untuk ayah.

“Kami tiada pilihan… Andai kami tidak membawa ayah ke mana-mana hospital swasta, kami akan kehilangannya,” katanya lagi.

Bagaimanapun, bintang kelahiran Akedemi Fantasia musim ke-3 ini memaklum bapanya kini telah dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari dan keadaannya juga dilaporkan stabil.

“Sekarang, ayah ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU). Apabila sudah stabil, ayah akan dipindahkan ke wad biasa. Namun, biarpun stabil, ayah lemah kerana ada beberapa komplikasi disebabkan jangkitan kuman.

“Tahun lalu, ayah mengalami serangan jantung dan perlu menjalani prosedur angiogram. Kami tunggu janji temu itu hampir setahun. Malangnya, apabila tarikh ditetapkan, kesihatan ayah pula merosot,” akhirinya.

Baru-baru ini, Amylea telah pun memuat naik sebuah hantaran di ruangan Instagram stories bagi memohon sumbangan orang ramai untuk menampung kos rawatan bapanya itu.

Sumber, Foto: Berita Harian, Instagram Amylea Azizan

Published by
Aizam Manaf