“Terima Kasih Diucapkan Kepada Semua…,” – Kembali ‘Live’ Di TV3 Selepas 25 Tahun, Azwan Ali Pegang Prinsip ‘Tak Mati Dek Keji, Tak Hidup Dek Puji’

Share

Pengacara senior, Azwan Ali mengakui peluang kembali mengendalikan sebuah program di TV3 baru-baru ini ‘seperti mimipi’ selepas kali terakhir melakukan perkara tersebut pada tahun 1995 lalu menerusi Juara Lagu.

Mengulas mengenai kemunculannya yang mendapat pujian ramai di dalam rancangan Lagu Cinta Kita musim kedua (LCK2) bersama Elly Mazlein, bintang berusia 54 tahun itu tidak menafikan perasaannya begitu teruja, terharu dan terkedu.

“Sebenarnya bukan tak hairan pun dengan pujian diberi itu, tapi sudah menjadi prinsip hidup saya selama ini, ‘tak mati dek keji, tak hidup dek puji’.

“Apa yang boleh dikata, saya sudah lalui fasa kehidupan amat dahsyat. Allah SWT sudah uji saya dengan dugaan terlalu besar, namun tak ada orang pun yang tahu.

“Antara dugaannya dengan adik-beradik, keluarga dan karier saya. Bagaimanapun, saya bersyukur Allah beri tahap kesabaran yang tinggi. Walau dihina dan dikeji sejak bertahun-tahun lama oleh netizen, saya tetap cekal.

“Alhamdulillah, saya jalani kehidupan dengan baik dan sentiasa gembira. Tidak pernah saya alami kemurungan akibat dikecam netizren dengan pelbagai kata nista yang meremukkan hati,” katanya.

Pendedahan tersebut dibuat hos yang sinonim dengan panggilan Diva AA kepada Harian Metro.

Katanya lagi, jika dia tidak kuat semangat serta reda, pasrah dan tawakal, pasti jiwanya kacau kerana kecaman-kecaman diterima itu sudah membuatkan hatinya cukup remuk.

“Jika saya nak terus fikir semua kecaman itu, hati saya bukan setakat terguris, tapi sudah remuk hancur. Sukar untuk saya gambarkannya.

“Apapun, terima kasih diucapkan kepada semua yang sudah menonton episod pertama LCK 2 dan nantikan kemunculan kali kedua saya pada Ahad ini, jam 9 malam di TV3,” katanya lagi.

Published by
MH