Pelakon Uqasha Senrose memberikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di dalam drama terkini lakonannya, Rindu Awak Separuh Nyawa (RASN).
Melalui video di Instagram, bintang cantik itu menyatakan dedikasi khas buat krew produksi, rakan pelakon dan peminat yang selama ini tidak putus-putus memberikan sokongan sepanjang ia bersiaran.
RASN yang mempunyai 48 episod telah pun tamat pada Isnin.
“Terima kasih banyak pada yang ikuti dan sokong drama Rindu Awak Separuh Nyawa dari episod pertama sampailah ke akhir. Terima kasih jadikan drama ini nombor satu.
“Tidak dilupa terima kasih kak Siti Rosmizah kerana pilih saya untuk pegang watak sebagai Kasih Maisara. Abang Along Kamaludin, pengarah yang banyak mengajar serta mengcungkil sisi lain Uqasha Senrose,” antara kata yang diucapkan kakak kepada pelakon, Nelydia Senrose ini.
Melihat ke ruangan komen, para peminat turut memberikan reaksi masing-masing dan rata-ratanya memuji komitmen mereka yang terlibat di dalam drama arahan Jamal Khan dan Along Kamaludin itu.
Selain Uqasha, RASN juga dibintangi Shukri Yahaya, Fizo Omar, Norreen Iman, Fiza Thomas, Fauzi Nawawi, Marsha dan ramai lagi.
Ia sebelum ini bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam menerusi slot Megadrama di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).